SEREMBAN: Keamanan untuk rakyat Palestin dan bantuan kemanusiaan yang berterusan
akan menjadi pertimbangan Malaysia sebelum membuat pendirian dalam penubuhan Lembaga
Keamanan Gaza tajaan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan mahu melihat rakyat Palestin
boleh pulang ke tanah air mereka dan menerima bantuan terutamanya makanan yang amat
diperlukan ketika ini.
Parlimen Rembau itu berkata, bantuan itu sangat penting memandangkan musim sejuk
yang melanda ketika ini dengan tempat tinggal dan makanan menjadi keperluan mendesak.
“Kita mahu melihat selagi ia dapat memberikan keamanan dan rakyat Palestin boleh pulang ke
tanah air mereka serta bantuan kemanusiaan terutamanya makanan.
“Sekarang masuk fasa kedua untuk menubuhkan lembaga keamanan dengan pelbagai
personaliti yang telah ditaja oleh Presiden AS, Donald Trump. Kita lihat dulu kerana lembaga
merupakan satu badan yang longgar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian
Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Senawang dekat sini hari ini.
Pada persidangan Parlimen pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
memberitahu, Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati sebelum menyatakan sokongan
terhadap penubuhan lembaga keamanan itu yang dicadangkan Trump bagi menamatkan
perang di Gaza.
Anwar berkata, langkah berhati-hati itu diambil kerana negara masih belum menerima
kesahihan maklumat dan senarai penyertaan dalam lembaga terbabit.
Berikutan itu Anwar telah meminta Mohamad mendapatkan senarai penuh berhubung
penyertaan ahli lembaga untuk dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah
Menteri, Jumaat ini.
Mohamad menjelaskan, Malaysia mengambil sikap berhati-hati kerana tidak mahu
terperangkap di tengah jalan kerana tiada kriteria khusus dalam pelantikan ahli lembaga
berkenaan.
“Kita tidak mahu terpanggang begitu saja apabila ahli-ahli lembaga itu kelak meletak jawatan
apabila berhadapan dengan kesukaran. Malaysia hanya akan mengambil bahagian dengan
syarat kita mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.
Tegasnya, Malaysia tidak pernah gagal mengambil bahagian dalam apa-apa inisiatif
keselamatan jika ia mendapat mandat PBB. – UTUSAN







