GAZA: Hamas menuduh Lembaga Keamanan gagal menekan Israel supaya membenarkan jawatankuasa teknokratik Palestin memasuki Gaza, sekali gus menambah ketegangan berhubung pelaksanaan pelan pascaperang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang masih terbantut.
Jurucakap kumpulan itu, Hazem Qassem menyifatkan kegagalan lembaga berkenaan memastikan jawatankuasa itu memasuki Gaza sebagai bukti kelemahan yang amat ketara.
Jawatankuasa itu yang diketuai Ali Shaath sudah berbulan-bulan menunggu di Kaherah, dengan Israel masih belum memberikan kelulusan untuk mereka memasuki wilayah berkenaan.
Hazem menggesa jawatankuasa itu menjelaskan secara terbuka perkara yang menghalang mereka daripada melaksanakan tanggungjawab, selain menyeru semua pihak memudahkan kemasukan mereka ke Gaza supaya kerja-kerja bantuan dan pembinaan semula dapat dimulakan.
Hamas turut mengulangi kesediaannya menyerahkan semua tanggungjawab pentadbiran, selaras dengan cadangan peralihan kepada pentadbiran teknokrat Palestin.
Sementara itu, Lembaga Keamanan meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu berhubung kegagalannya melaksanakan komitmen utama dalam perjanjian gencatan senjata.
Utusan Kanan Lembaga Keamanan, Nickolay Mladenov menghantar surat kepada Netanyahu, memberi amaran badan pimpinan AS itu boleh menyerahkan semula mandat mengawasi pemulihan pascaperang Gaza kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya Israel terus menghalang aturan peralihan yang dipersetujui.
Surat yang dihantar pada Selasa itu menegaskan lembaga berkenaan tidak meminta konsesi tambahan daripada Israel, sebaliknya mahu Netanyahu menunaikan komitmen yang sudah dipersetujui dalam pelan damai 20 perkara Trump dan perjanjian gencatan senjata Oktober 2025.
Antara langkah yang masih belum diselesaikan ialah membenarkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) memasuki wilayah itu, mengerahkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) serta membenarkan anggota polis Palestin yang sudah melalui proses tapisan untuk pergi ke Mesir menjalani latihan.
Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mengambil alih pentadbiran awam daripada Hamas, manakala pasukan antarabangsa dan struktur baharu polis Palestin dijangka mengendalikan urusan keselamatan.
Bagaimanapun, Israel masih belum meluluskan aturan yang diperlukan bagi membolehkan badan-badan itu mula beroperasi.
Pertikaian itu menyusuli persetujuan Hamas pada Julai terhadap pelan hala tuju yang merangkumi penyerahan kuasa pentadbiran kepada NCAG serta pelucutan senjata kumpulan itu.
Dalam wawancara yang diterbitkan pada 20 November, penasihat kanan Lembaga Keamanan, Josh Gruenbaum berhujah ketiadaan pasukan penstabilan antarabangsa dan pasukan polis Palestin yang berfungsi menyebabkan proses pelucutan senjata yang dirancang tidak dapat diteruskan.
Pada 9 November, Lembaga Keamanan turut memberi amaran kelewatan Israel meluluskan bekalan kemanusiaan dan memenuhi komitmen di bawah Protokol Kemanusiaan Sharm El-Sheikh memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza.
Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata pada Oktober 2025 menerusi pelan Trump, namun pelaksanaan baki peruntukannya masih terbantut. Israel terus menguasai 70 peratus wilayah Gaza.
Menurut angka terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran gencatan senjata oleh Israel mengorbankan 1,705 rakyat Palestin dan mencederakan 6,163 yang lain sejak perjanjian itu berkuat kuasa.











