BERMULA dengan suntikan modal daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), pemilik butik perkahwinan Sazlees berjaya membina perniagaan sehingga mampu bertahan lebih 30 tahun dalam industri perkahwinan yang semakin kompetitif.
Berbekalkan semangat dan keazaman untuk mengembangkan perniagaan, beliau menggunakan pembiayaan berkenaan sebagai modal permulaan sebelum mengukuhkan kedudukan kewangan melalui hasil keuntungan yang diperoleh.
Hasil usaha selama tiga dekad itu menyaksikan Sazlees berjaya membina nama dan kepercayaan pelanggan di seluruh Perak, sekali gus menjadikan pengalaman, mutu kerja serta perkhidmatan eksklusif sebagai kekuatan utama perniagaan.
Pemiliknya, Azie Mohamad Zaini, 46 berkata, pelanggan kini lebih yakin memilih pakej premium yang ditawarkan kerana sudah mengenali hasil kerja butik berkenaan dan tidak keberatan membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan eksklusif.
Selepas melunaskan pinjaman MARA, Azie mula mengumpul simpanan sendiri dan menggunakan wang berkenaan untuk membesarkan perniagaan secara berperingkat tanpa terlalu bergantung kepada pembiayaan luar.
Katanya, walaupun pakej Rahmah berharga RM1,500 masih ditawarkan bagi membantu pasangan berpendapatan rendah, sambutan terhadap pakej itu agak kurang menggalakkan berbanding pakej premium.
Menurutnya, pelanggan lazimnya pada peringkat awal mengambil kira keadaan ekonomi semasa sebelum membuat keputusan, namun mereka lebih terbuka untuk berbelanja apabila memahami kualiti hasil kerja dan perkhidmatan yang disediakan.
“Ramai pelanggan lebih yakin dengan pakej premium kerana mereka sudah mengetahui hasil kerja butik saya dan tidak keberatan membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan eksklusif.
“Walaupun ada yang pada awalnya merungut mengenai keadaan ekonomi, selepas diberikan penjelasan mengenai perkhidmatan dan hasil kerja, mereka akhirnya memilih pakej premium,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pakej Rahmah itu diwujudkan atas kesedaran mengenai tekanan kos sara hidup yang dihadapi masyarakat, selain hasrat membantu pasangan muda merealisasikan majlis perkahwinan mengikut kemampuan.
“Pakej berkenaan merangkumi tiga keperluan asas iaitu sepasang pakaian pengantin sedia ada, pelamin ekonomi dan perkhidmatan solekan, yang kebanyakannya menjadi pilihan pasangan baru tamat persekolahan atau memulakan alam pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, pengalaman lebih 30 tahun dalam industri berkenaan turut membuka peluang kepada beliau untuk berkongsi kepakaran apabila sering dijemput institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut kemahiran sebagai juri bagi menilai projek akhir semester pelajar.
Beliau juga menerima jemputan mengadili pertandingan solekan membabitkan jurusolek amatur.
Katanya, pengiktirafan daripada institusi pendidikan itu merupakan antara pencapaian terbesar sepanjang kerjayanya kerana kepakarannya bukan sahaja mendapat kepercayaan pelanggan, malah turut diiktiraf pihak akademik dan industri.
Mengulas perkembangan pasaran, beliau berkata, trend perkahwinan kini semakin dipengaruhi konsep Barat yang lebih ringkas dan minimalis, termasuk majlis berkonsepkan taman terbuka.
“Perubahan cita rasa itu turut mempengaruhi permintaan terhadap rekaan pelamin dan dekorasi, sekali gus menuntut pengusaha butik sentiasa kreatif serta peka terhadap perkembangan semasa.
“Bagaimanapun, saya mengakui persaingan semakin sengit apabila banyak butik baharu muncul dengan pelbagai idea kreatif dan strategi penetapan harga yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, persaingan harga daripada pengusaha baharu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan, selain kerenah pelanggan yang kadangkala mempunyai kehendak di luar jangkaan.
Namun, Azie percaya pelanggan akhirnya akan kembali menilai pengalaman, mutu kerja dan disiplin yang ditawarkan sesebuah butik.
“Memang ada pelanggan yang mencuba perkhidmatan butik baharu kerana tertarik dengan harga, tetapi ada antara mereka kembali mendapatkan khidmat saya selepas kurang berpuas hati dengan hasil kerja atau disiplin pengendaliannya.
“Mutu kerja, disiplin dan perkhidmatan sentiasa menjadi prinsip utama yang saya jaga kerana itulah asas kepercayaan pelanggan selama ini,” katanya.
Dalam usaha mengawal kos operasi, beliau turut mengamalkan pendekatan menggunakan semula barangan dekorasi dan perhiasan sedia ada dengan memberikan nafas baharu mengikut trend semasa.
Katanya, usahawan tidak seharusnya terburu-buru membuang barangan lama kerana trend dalam industri perkahwinan lazimnya berulang mengikut peredaran masa.
Malah, trend pelamin era 1980-an kini kembali mendapat perhatian apabila media sosial memperkenalkan semula konsep dekorasi lama kepada generasi baharu.
Jelasnya, koleksi perhiasan pelamin yang disimpan sejak dahulu kini boleh digunakan semula, sekali gus mengurangkan keperluan membeli kelengkapan baharu dan membantu mengawal aliran tunai perniagaan.
“Sebahagian besar barangan perniagaan sudah tersedia dan saya hanya memberikan nafas baharu kepada barangan lama mengikut konsep semasa.
“Contohnya, perhiasan pelamin era 1980-an yang masih saya simpan kini boleh digunakan semula apabila trend berkenaan kembali popular. Pendekatan ini membantu mengawal aliran tunai dan mengurangkan perbelanjaan,” katanya.
Dari segi pemasaran, beliau mengakui media sosial memainkan peranan penting dalam memperkenalkan perkhidmatan dan mengikuti perubahan trend, namun Sazlees tidak bergantung sepenuhnya kepada platform digital.
Sebaliknya, rangkaian pelanggan setia yang dibina selama 30 tahun menjadi antara kekuatan utama perniagaan itu sehingga nama Sazlees semakin dikenali di seluruh Perak.
Azie turut berpandangan pemilikan premis sendiri penting bagi usahawan yang sudah mempunyai kedudukan kewangan stabil kerana ia mampu mengukuhkan aset dan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
Katanya, usahawan perlu mengutamakan pelaburan dalam perniagaan berbanding perbelanjaan peribadi yang tidak mendesak, selain mengamalkan sikap berjimat cermat dan membuat pelaburan secara bijak.
Mengakhiri perkongsian, Azie menasihatkan golongan usahawan wanita supaya sentiasa mengutamakan kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah pelanggan.
Selain itu, usahawan juga perlu mempunyai ketahanan mental ketika berhadapan pelbagai kerenah pelanggan serta sentiasa kreatif dan bersedia menyesuaikan perniagaan dengan perubahan trend semasa.
“Kejujuran dan keikhlasan dalam menjalankan amanah pelanggan sangat penting. Usahawan juga perlu kental menghadapi pelbagai kerenah pelanggan dan sentiasa kreatif mengikut peredaran masa,” katanya.-UTUSAN











