PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka bergerak mendatar dengan kecenderungan negatif minggu depan berikutan sentimen global yang masih tidak menentu, khususnya susulan tekanan terhadap saham teknologi, hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan perdagangan antarabangsa.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi pasaran tempatan dijangka kekal berhati-hati meskipun ekonomi Malaysia masih menunjukkan asas yang kukuh.
Katanya, kelemahan pasaran ketika ini lebih banyak dipengaruhi faktor luaran berbanding kemerosotan asas ekonomi domestik, terutama penjualan saham teknologi global, kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah AS serta isu tarif dan sekatan berkaitan cip kecerdasan buatan (AI).
“Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,545 hingga 1,580 mata minggu depan, dengan paras 1,545 mata menjadi sokongan kritikal yang perlu dipertahankan.
“Jika KLCI kekal di atas 1,545 mata, terdapat peluang untuk lantunan teknikal ke paras 1,580 mata.
“Bagaimanapun, sekiranya paras sokongan itu ditembusi, indeks berisiko susut lebih rendah kepada 1,534 mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, kedudukan indeks yang sudah memasuki zon terlebih jual atau oversold membuka ruang kepada aktiviti pembelian terpilih pada harga rendah, namun sebarang pemulihan berkemungkinan tidak bertahan lama selagi sentimen global belum menunjukkan tanda pemulihan.
Mengulas faktor yang bakal mempengaruhi pasaran, beliau berkata, perkembangan dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) menjadi antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian pelabur minggu depan.
Katanya, jangkaan pengetatan dasar monetari AS berpotensi meningkatkan daya tarikan aset berdenominasi dolar AS, sekali gus memberi tekanan kepada aliran dana ke pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia.
“Perbezaan hala tuju dasar monetari antara AS dan Malaysia juga penting apabila Fed dijangka mengetatkan dasar, sedangkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
“Keadaan ini boleh menyebabkan pelabur lebih berhati-hati terhadap pasaran serantau, terutama apabila pulangan aset di AS semakin menarik,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, cadangan tarif AS sehingga 18 peratus terhadap Malaysia di bawah siasatan berkaitan lebihan kapasiti turut meningkatkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur, meskipun langkah berkenaan belum berkuat kuasa.
Katanya, kebimbangan utama bukan sekadar kesan langsung tarif terhadap eksport negara, sebaliknya persepsi pelabur terhadap risiko perdagangan dan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.
“Pelabur bimbang perkembangan ini mungkin membawa kepada sekatan perdagangan yang lebih luas, khususnya membabitkan industri semikonduktor dan cip AI.
“Justeru, sebarang perkembangan baharu daripada Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) berpotensi mencetuskan turun naik ketara dalam pasaran tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan sektor perbankan, perladangan, pengguna serta tenaga berpotensi menunjukkan prestasi lebih baik berbanding sektor berorientasikan pertumbuhan, khususnya teknologi dan pusat data.
Menurutnya, saham perbankan seperti Maybank, Public Bank dan CIMB berpotensi mendapat perhatian pelabur berikutan kedudukan kewangan yang lebih stabil, pembayaran dividen serta kualiti aset yang terkawal.
“Sektor perladangan pula dijangka mendapat sokongan daripada harga minyak sawit mentah (MSM), manakala sektor pengguna berpotensi kekal berdaya tahan kerana permintaan terhadap barangan keperluan harian.
“Pada masa sama, kenaikan harga minyak mentah Brent berpotensi memberi manfaat kepada sektor tenaga dan minyak dan gas (O&G), walaupun harga minyak yang tinggi boleh meningkatkan tekanan inflasi global,” katanya.
Sebaliknya, sektor teknologi dan pusat data dijangka terus berdepan tekanan berikutan kebimbangan pelabur terhadap pulangan pelaburan AI serta ketidaktentuan dasar eksport cip AS.
Beliau berkata, peralihan dana daripada saham berorientasikan pertumbuhan kepada saham defensif dan berdividen tinggi berkemungkinan berterusan dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu.-UTUSAN











