Lembaga Keamanan gagal bawa damai ke Gaza

Lembaga Keamanan gagal bawa damai ke Gaza

GAMBAR fail menunjukkan bangunan musnah dan khemah-khemah pelarian di Khan Younis, di selatan Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Usaha Lembaga Keamanan memastikan gencatan senjata di Gaza berkekalan terus menemukan jalan buntu apabila komitmen di bawah perjanjian berkenaan masih gagal dilaksanakan sepenuhnya.

Perkara itu didedahkan dalam laporan terbaharu badan itu kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang memberi amaran perjanjian rapuh tersebut berisiko runtuh jika tiada tindakan segera diambil bagi memastikan semua pihak memenuhi komitmen masing-masing.

“Jurang antara perkara yang dipersetujui dengan keadaan sebenar di lapangan kekal menjadi risiko utama kepada proses berkenaan,” menurut laporan itu yang salinannya diperoleh The Associated Press (AP).

Memuatkan artikel berkaitan…

Laporan pertama lembaga itu dibentangkan pada Mei lalu oleh Ketua Pengarahnya, Nickolay Mladenov, bekas utusan PBB bagi Asia Barat.

Enam bulan kemudian, laporan terbaharu itu mengulangi kebimbangan sama apabila serangan berterusan Israel dan kegiatan ketenteraan Hamas terus menjejaskan usaha kedua-dua pihak mematuhi pelan hala tuju yang dipersetujui.

Ia turut menyatakan sekatan Israel terhadap kemasukan bekalan dan peralatan, selain kekurangan dana, terus menjejaskan usaha persediaan dan tindak balas kemanusiaan di Gaza.

Sehubungan itu, lembaga berkenaan menggesa kemasukan bahan perlindungan dan keperluan menghadapi musim sejuk ditingkatkan segera, selain kelulusan diberikan bagi membawa masuk pam, penjana elektrik dan jentera berat.

Laporan itu turut mendedahkan pentadbiran awam teknokratik yang ditubuhkan bagi menguruskan Gaza buat sementara waktu masih belum dibenarkan Israel memulakan tugasnya di wilayah berkenaan.

Ketiadaan keputusan kerajaan Israel mengenai latihan, penempatan dan kepulangan anggota polis awam ke Gaza turut menghalang pelaksanaan penuh Pelan Komprehensif, sekali gus melambatkan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa.

Penempatan pasukan itu penting bagi membolehkan pengunduran tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas dan permulaan usaha pembinaan semula wilayah berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini