PETALING JAYA: BYD Sime Motors memperluas rangkaian pengedarannya di utara semenanjung menerusi pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) baharu di Ipoh, sekali gus meningkatkan akses pelanggan di Perak kepada kenderaan elektrik (EV) jenama itu.
Pusat 3S yang dikendalikan pengedar sahnya, Goh Brothers itu meliputi kawasan seluas kira-kira 20,000 kaki persegi dan mampu mempamerkan sehingga lapan kenderaan pada satu-satu masa.
Pengedar Prinsipal Goh Brothers, Ernie Goh berkata, pembukaan cawangan keempat itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi pertumbuhan mobiliti elektrik di Perak.
“Kemudahan baharu itu juga merupakan pelaburan bagi meningkatkan pengalaman pelanggan serta memperkukuh keupayaan syarikat menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.
“Sebagai bilik pameran BYD terbesar di utara Malaysia, kemudahan ini melambangkan pelaburan besar dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dan memperkukuh keupayaan kami menyokong pertumbuhan EV di rantau ini.
“Kami juga berbesar hati apabila kemudahan ini menerima Anugerah Gedung Juara Jenama daripada BYD Asia Pasifik, yang membuktikan komitmen pasukan kami dalam memberikan perkhidmatan cemerlang,” katanya.
Kemudahan berkenaan turut dilengkapi ruang servis dengan enam ruang kerja utama dan satu ruang tambahan, selain dua unit pengecas arus terus (DC) berkapasiti 240 kilowatt (kW) dan 180kW menerusi kerjasama dengan Gentari.
Bilik pameran itu turut menerima pengiktirafan Anugerah Gedung Juara Jenama pada Persidangan Pengedar BYD Asia Pasifik di Shenzhen, China, tahun ini, sekali gus meletakkannya dalam kalangan pengedar berprestasi tinggi di rantau berkenaan.
Pembukaan pusat berkenaan menjadikan ia bilik pameran BYD keempat kendalian Goh Brothers di Perak, melengkapkan rangkaian sedia ada di Ipoh, Taiping dan Sitiawan.
Pengedar itu mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri automotif serta menjalin kerjasama jangka panjang dengan BYD Sime Motors.
Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pembukaan pusat baharu itu membolehkan syarikat mendekati lebih ramai pelanggan di Perak susulan peningkatan minat terhadap kenderaan elektrik di negeri berkenaan dan kawasan sekitarnya.
“Kemudahan itu turut menyediakan persekitaran lebih selesa untuk pelanggan mendapatkan maklumat mengenai rangkaian kenderaan serta teknologi BYD, selain sokongan sepanjang tempoh pemilikan,” ujarnya.
Secara keseluruhan, rangkaian BYD Sime Motors di Malaysia merangkumi 45 cawangan jualan dan pemasaran, 33 kemudahan selepas jualan serta 16 pusat cat dan pembaikan badan kenderaan.
Di utara Semenanjung, rangkaian berkenaan meliputi sembilan cawangan pengedar sah di Perak, Pulau Pinang dan Kedah. – UTUSAN











