KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, sekali gus mengatasi anggaran awal pada 5.3 peratus.
Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad berkata, perkembangan itu didorong prestasi eksport yang kukuh serta permintaan dalam negeri yang terus berkembang.
“Pertumbuhan eksport terus mengukuh, didorong oleh eksport berkaitan teknologi merentas produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk bukan E&E.
“Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, dan pertumbuhan pendapatan yang stabil.
“Walau bagaimanapun, pertumbuhan menjadi sederhana berikutan kesan asas yang berpunca daripada pemindahan tunai yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar prestasi ekonomi suku ketiga 2026 di Sasana Kijang, di sini semalam.
Menurut beliau, pertumbuhan pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh untuk struktur serta jentera dan peralatan.
Ujarnya, dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh prestasi kukuh yang berterusan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.
“Pertumbuhan sektor perkhidmatan didorong oleh pertumbuhan perkhidmatan perniagaan yang lebih kukuh.
“Aktiviti sektor perkilangan berkembang dengan lebih pantas, sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan global yang kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI) terhadap produk berkaitan teknologi,” katanya.
Siti Asiah berkata, pertumbuhan sektor pertanian menjadi kukuh berikutan kadar hasil minyak sawit yang meningkat di seluruh negara.
“Sebaliknya, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penguncupan berikutan pengeluaran minyak dan gas asli yang lebih rendah disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan berjadual.
“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.5 peratus berbanding 2.5 peratus pada suku kedua 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.9 peratus, sama seperti suku kedua, manakala inflasi teras menurun kepada 1.7 berbanding 1.9 peratus suku kedua.
“Tekanan terhadap inflasi keseluruhan didorong terutamanya oleh caj elektrik yang lebih tinggi 2.0 peratus berbanding 3.7 peratus pada suku kedua 2026 berikutan kenaikan surcaj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik ( AFA) pada suku tersebut.
“Keadaan ini sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi bahan api yang lebih rendah 1.8 peratus berbanding 4.7 peratus suku kedua 2026 susulan pelaksanaan diesel bersubsidi menerusi program BUDI Diesel pada bulan Julai 2026,” katanya.
Ujarnya, inflasi teras menurun mencerminkan terutamanya faktor-faktor khusus mengikut barangan, termasuk kesan asas.
“Tahap rebakan inflasi yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, meningkat kepada 48.3 peratus berbanding 45.5 peratus pada suku ketiga , melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini iaitu 45.6 peratus.
“Rebakan inflasi meningkat dengan ketara pada bulan Julai, sebahagiannya mencerminkan faktor bermusim dan faktor khusus mengikut barangan (idiosinkratik), sebelum menjadi sederhana pada bulan Ogos dan September,” katanya. – UTUSAN











