SISPAA punca masalah disiplin

SISPAA punca masalah disiplin

MEKANISME pengendalian aduan melalui SISPAA perlu diteliti semula bagi memastikan guru tidak dikenakan tindakan hanya berdasarkan aduan yang belum disahkan kesahihannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) didakwa menjadi antara faktor menyebabkan guru disiplin bimbang untuk mengambil tindakan terhadap pelajar bermasalah kerana berisiko berdepan aduan dan tindakan tatatertib.

Kebimbangan itu bukan sahaja melibatkan proses siasatan malah risiko tindakan undang-undang dan isu integriti perkhidmatan turut menjadi pertimbangan guru ketika melaksanakan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, sehubungan itu mekanisme pengendalian aduan menerusi sistem itu perlu diteliti semula bagi memastikan guru tidak dikenakan tindakan hanya berdasarkan aduan yang belum disahkan kesahihannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aduan yang diterima perlu disahkan dan dipastikan mempunyai fakta kes yang relevan sebelum individu yang diadu disiasat. Jika tiada fakta kes yang relevan, aduan berkenaan boleh digugurkan sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan kuasa guru disiplin di sekolah perlu dikembalikan bagi membolehkan isu salah laku pelajar ditangani de­ngan lebih berkesan sekali gus mengelakkannya daripada berlarutan menjadi kesalahan lebih serius.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Nor Hisam Nordin dilaporkan berkata, tugas mendisiplinkan pelajar kini semakin mencabar berikutan keterbatasan kuasa guru disiplin termasuk dalam pelaksa­naan hukuman rotan.

Selain itu, Fouzi berkata, NUTP sebelum ini telah me­minta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) supaya meneliti semula carta alir pengendalian aduan melalui SISPAA.

Menurut beliau, penelitian itu bagi memastikan setiap aduan disahkan terlebih dahulu sebelum siasatan terhadap guru dijalankan.

Mengulas lanjut katanya, semua guru termasuk guru disiplin, guru kelas dan guru mata pelajaran perlu mengamalkan sistem dokumentasi bagi merekodkan setiap kesalahan murid.

Menurutnya, rekod ber­ke­naan penting bagi membolehkan tindakan disiplin diambil terhadap murid bermasalah, termasuk penggantungan dan pembuangan sekolah.

“Guru digalakkan beralih kepada sistem dokumentasi dalam merekodkan setiap kesa­lahan murid. Ini bukan sahaja melibatkan guru disiplin, tetapi semua guru termasuk guru kelas dan guru mata pelajaran.

“Tindakan tegas perlu diambil sehingga ke peringkat gantung dan buang sekolah. Murid yang dibuang sekolah tidak boleh diterima belajar semula di sekolah yang sama,” katanya.

Fouzi dalam pada itu ber­kata, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih besar dalam mendisiplinkan anak masing-masing serta memastikan mereka mematuhi peraturan sekolah bagi menangani masalah salah laku murid.

Beliau berkata, tanggungjawab mendisiplinkan anak tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada guru terutamanya ketika kuasa golo­ngan pendidik semakin terbatas.

Katanya, perubahan sosiologi masyarakat menyebabkan guru tidak lagi dapat me­laksanakan tindakan disiplin secara tegas seperti yang diamalkan sebelum tahun 2000.

“Sudah tiba masanya peranan ibu bapa dikembalikan dalam mendisiplinkan anak mereka serta memastikan anak-anak akur dengan peraturan sekolah.

“Berdasarkan perubahan ma­sa dan sosiologi masyarakat, kuasa sekolah terutama guru disiplin kini sangat terhad.

“Keselamatan kerjaya guru lebih penting berbanding mengambil tindakan tegas yang akhirnya boleh mendatangkan risiko kepada guru sendiri,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini