Kehadiran warden setiap syif perlu jadi ukuran keselamatan asrama

Kehadiran warden setiap syif perlu jadi ukuran keselamatan asrama

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keberkesanan pengawasan asrama perlu diukur berdasarkan kehadiran warden yang bertugas pada setiap syif khususnya pada waktu malam dan bukan hanya berpandukan jumlah keseluruhan warden yang dilantik.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, nisbah warden dengan murid mesti diterjemahkan kepada kehadiran dan pemantauan sebenar di asrama.

“Kita tidak boleh hanya melihat berapa ramai warden yang dilantik. Persoalan yang lebih penting adalah berapa orang warden yang benar-benar berada di asrama pada setiap syif khususnya pada waktu malam ketika risiko keselamatan lebih tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nisbah warden kepada murid mesti diterjemahkan kepada kehadiran dan pengawasan sebenar, bukan sekadar angka di atas kertas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fouzi berkata, audit kesela­matan asrama perlu meneliti kecukupan petugas mengikut kapasiti asrama serta liputan pemantauan sepanjang 24 jam termasuk di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, audit tidak seha­rusnya terhad kepada peme­riksaan sama ada prosedur ope­rasi standard (SOP) wujud sebaliknya perlu menilai pelaksanaan dan keberkesanannya.

“Bagi NUTP, audit Kementerian Pendidikan (KPM) jangan hanya memeriksa sama ada SOP wujud atau tidak.

“Audit mesti melihat sama ada SOP itu benar-benar dilaksanakan dan berkesan di lapa­ngan,” katanya.

Mengulas cabaran pengawasan, Fouzi berkata, pengurusan sekolah sukar mendapatkan guru yang sanggup menjadi warden secara sukarela sehingga ada yang terpaksa melaksa­nakan penggiliran atau memberi arahan untuk mengisi tugas itu.

Katanya, nisbah warden mengikut jantina juga ada ka­lanya sukar dipenuhi kerana faktor lokasi terutama di sekolah pedalaman serta jumlah murid asrama yang kecil.

“Keadaan itu menyebabkan ada warden lelaki terpaksa menjaga murid perempuan atau warden perempuan turut menjaga murid lelaki.

“Warden ini betul-betul berkorban masa rehat dan masa bersama keluarga. Elaun yang sedikit itu bukanlah dipandang oleh mereka jika dibandingkan tanggungjawab dan pengorbanan yang terpaksa mereka berikan,” katanya.

Fouzi berkata, guru dan warden berdepan cabaran mengesan unsur buli lebih awal kerana perbuatan itu lazimnya berlaku secara tersembunyi pada waktu dan lokasi yang sukar diramal.

Katanya, guru sukar mendapatkan maklumat daripada murid lain yang bimbang tentang keselamatan diri serta hubu­ngan dengan rakan di asrama.

“Ada juga tindakan yang disifatkan murid sebagai gurauan biasa manakala mangsa kurang bekerjasama untuk melaporkan setiap kejadian.

“Umum tahu bahawa warden atau guru tidak boleh berada di semua tempat dan sepanjang masa namun KPM perlu memikirkan alternatif yang sesuai untuk mengatasi isu ini,” katanya.

Menurut Fouzi, audit secara profesional dan terbuka terhadap setiap asrama perlu mene­liti pencahayaan, pintu, laluan, kawasan terlindung serta lokasi kamera litar tertutup yang sesuai mengambil kira privasi pelajar.

Katanya, audit juga perlu menilai keberkesanan saluran aduan sulit dan selamat, rekod kes buli, aduan dan kecederaan, tindakan susulan serta tempoh antara laporan diterima dengan intervensi dilaksanakan.

“Tahap latihan guru dan warden untuk mengenal pasti tanda awal buli serta kerjasama sekolah dengan ibu bapa, kaunselor, polis dan agensi berkaitan bagi kes serius juga perlu diperiksa,” katanya.

Jelasnya, penambahbaikan segera perlu dilaksanakan termasuk memperkukuh kehadiran dan pemantauan war­den, me­laksanakan audit keselamatan secara berkala, menyediakan saluran aduan yang lebih sulit serta memberi latihan khusus kepada warden dan pentadbir.

Namun katanya, peraturan keselamatan perlu mengambil kira keadaan setempat kerana pendekatan yang sama mungkin tidak sesuai untuk semua asrama.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×