NUTP sokong Akta Perlindungan Guru

NUTP sokong Akta Perlindungan Guru

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Per­khidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyokong cadangan digubal Akta Perlindungan Guru bagi melin­dungi warga pendidik daripada ancaman saman, laporan polis dan tekanan ketika menjalankan tugas.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, kesatuan itu sekian lama memperjuangkan mekanisme perundangan bagi melindungi guru yang bertindak secara profesional, dengan niat baik dan mematuhi prosedur ditetapkan.

Katanya, guru tidak meminta kekebalan daripada undang-undang, sebaliknya memerlukan perlindungan sewajarnya ketika melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan, disiplin dan kepentingan murid.

“Guru kini bukan sahaja berdepan cabaran mendidik, malah terpaksa menghadapi ancaman saman, laporan polis, kecaman di media sosial dan tekanan daripada pelbagai pihak.

“Akibatnya, ramai guru be­­rasa bimbang setiap kali membuat keputusan walaupun tindakan itu dibuat demi kepentingan murid,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fouzi berkata, walaupun NUTP tidak mempunyai statistik rasmi kerana kes dikendalikan pelbagai agensi, aduan diterima menunjukkan trend ancaman saman, laporan polis dan notis tuntutan terhadap guru mening­kat berbanding se­de­kad lalu.

Antara kes yang sering berlaku melibatkan tindakan disiplin terhadap murid, dakwaan kecuaian semasa aktiviti sekolah, masalah komunikasi dengan ibu bapa serta penyebaran rakaman video atau kenyataan di media sosial di luar konteks.

Katanya, budaya ‘viralkan dahulu, siasat kemudian’ menyebabkan guru mudah dihukum masyarakat sebelum fakta sebenar diketahui.

“Ramai guru kini memilih untuk tidak menegur, merampas barang larangan atau mengambil tindakan disiplin sewajarnya kerana bimbang dirakam, ditularkan atau disaman.

“Jika keadaan ini berterusan, autoriti guru di sekolah akan semakin terhakis dan usaha membentuk sahsiah murid menjadi lebih sukar,” katanya.

Cadangan penggubalan akta itu sebelum ini dibangkitkan Pengerusi Majlis Amanah Rak­yat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki susulan kebimbangan terhadap warga pendidik yang semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tugas.

Beliau berkata, akta itu perlu merangkumi bantuan guaman kepada guru yang disiasat ketika menjalankan tugas rasmi, tatacara siasatan adil serta perlindungan daripada ugutan dan fitnah di media sosial.

NUTP turut mencadangkan peruntukan perlindungan niat baik atau good faith protection bagi memastikan guru yang bertindak dalam skop tugas rasmi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan tidak terus dikenakan tindakan sivil atau jenayah tanpa siasatan awal menyeluruh.

“Perlindungan tersebut bukan lesen kepada guru untuk melakukan salah laku kerana mana-mana pendidik yang menyalahgunakan kuasa tetap perlu disiasat dan dikenakan tindakan.

“Tanpa perlindungan undang-undang yang jelas, profesion perguruan berisiko kehilangan wibawa, moral guru merosot dan sistem pendidikan negara menerima kesan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN