Ismail Lasim kekal MB?

Ismail Lasim kekal MB?

ISMAIL Lasim masih meneruskan tugas Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kedudukan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan terus menjadi persoalan berikutan Datuk Ismail Lasim yang telah meletakkan jawatan namun masih meneruskan tugasnya seperti biasa setakat semalam.

Situasi itu dilihat selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini petang kelmarin.

Semalam Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh memuat naik hantaran di media sosial memaklumkan beliau berada di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bagi menerima kunjungan dan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha Akhbar beliau, Mohd. Fasha Musthafa ketika dihubungi Utusan Malaysia juga mengesahkan perkara itu.

“Bertugas macam biasa. Ikut jadual, ada mesyuarat dan perjumpaan. Menteri Besar kita okay dan bertenang,” katanya.

Dalam pada itu juga, Ismail turut dijadualkan menghadiri Pelancaran Bulan Zakat Peringkat Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini

Perkembangan-perkembangan terbaharu ini menguatkan spekulasi bahawa Ismail telah mendapat perkenan Tuanku Muhriz untuk beliau meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, menurut laporan sebuah portal berita, Ismail dijangka menghadap Tuanku Muhriz, esok, bagi membincangkan perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kedudukan 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dibatalkan pelantikan mereka sebelum ini.

Menurut sumber, pertemuan itu menyusul selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz petang kelmarin susulan kemelut berhubung surat peletakkan jawatannya ketika ini.

Bagaimanapun, Mohd. Fasha memaklumkan tidak mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu.

“Saya dapat maklumat mengenai tarikh menghadap daripada kenyataan media Pengelola Bijaya Diraja itu. Intipati saya tidak tahu, yang saya tahu tarikh menghadap menerusi kenyataan media yang dikeluarkan istana sahaja,” katanya kepada akhbar ini.

Kelmarin, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali menerusi kenyataan memaklumkan Tuanku Muhriz telah memberi perkenan kepada Ismail untuk menghadap dan ditetapkan pada pukul 10 pagi Jumaat ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim memberitahu, pejabatnya belum menerima sebarang makluman atau notis rasmi berhubung peletakan jawatan Ismail.

“Saya hanya tahu pada malam 16 November lalu melalui media sosial. Saya tidak menerima apa-apa makluman mengenai perkara itu,” katanya dalam satu majlis di Seremban, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, beliau masih menunggu perkenan Tuanku Muhriz bagi menghadap untuk mempersembahkan nama Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, telah menghantar warkah kepada Istana Negeri Sembilan untuk menghadap sebelum ini dan menunggu jawapan mengenai perkara tersebut.

“Warkah (untuk menghadap) telah diutus, jadi setakat ini saya belum dititah untuk menghadap dan kami mempunyai kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk mempersembah maklum warkah berkenaan.

“Satu sahaja (nama calon Menteri Besar yang dipersembahkan) tetapi biar istana yang mengumumkan,” katanya di Kota Tinggi, Johor, semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menerusi kenyataan memaklumkan, Ismail memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa 16 November lalu.

Katanya, Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN telah mene­rima satu salinan surat peletakan jawatan Ismail yang telah diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Sehubungan itu menurutnya, Pengerusi BN akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan ke hadapan Tuanku Muhriz selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini