PETALING JAYA: Negara-negara di rantau Asia Pasifik perlu mengukuhkan kerjasama merentas jurang geopolitik ketika tekanan persaingan antara blok serantau menjadi semakin ketara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman Asia Pasifik selama beberapa dekad membuktikan bahawa negara di dalamnya boleh memperjuangkan kepentingan masing-masing sambil menyumbang kepada usaha serantau yang lebih besar.
Katanya, pemimpin negara Asia Pasifik perlu yakin dan berazam untuk mengekalkan tradisi itu khususnya ketika tekanan untuk berundur ke dalam blok-blok yang bersaing semakin ketara.
“Bagi Malaysia, keyakinan ini dizahirkan menerusi dasar berkecuali secara aktif. Ia merupakan keputusan berdaulat yang dibuat secara sengaja, berlandaskan kepercayaan bahawa setiap negara tanpa mengira saiz atau kekuatan ekonominya, berhak menentukan hala tuju sendiri dan turut memainkan peranan dalam membentuk susunan antarabangsa.
“Kita berusaha menjalin hubungan yang membina dengan semua rakan, berpandukan prinsip, kepentingan nasional serta komitmen berterusan terhadap keamanan dan kerjasama,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026 di Shenzen, China, semalam.
Perdana menteri berkata, visi Wawasan Putrajaya 2040 yang diterima pakai semasa tempoh kepengerusian Malaysia akan dinilai berdasarkan kesediaan menterjemahkan aspirasi tersebut kepada hasil yang lebih nyata.
Katanya, visi itu mencerminkan aspirasi Asia Pasifik untuk membina komuniti yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman.
“Ini bermakna membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, sambil memastikan pasaran kekal terbuka. Ia juga bermakna memperluaskan akses teknologi canggih, melabur dalam pembangunan modal insan dan memastikan ekonomi negara membangun berpeluang menjadi peneraju inovasi dan pengeluar melalui keupayaan sendiri.
“Selain itu, peralihan kepada tenaga lebih bersih perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keadaan berbeza setiap negara serta menyediakan peluang sebenar untuk pertumbuhan serta pembangunan industri,” katanya.
Bagi komuniti perniagaan pula, Anwar berkata, segmen itu memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan masa depan rantau Asia-Pasifik.
“Pelaburan yang anda laksanakan, teknologi yang anda bangunkan, serta perkongsian yang anda jalin akan membantu menentukan landskap ekonomi rantau kita untuk dekad-dekad yang akan datang.
“Bersama pengaruh ini, wujud tanggungjawab untuk memastikan peluang yang terhasil daripada transformasi ekonomi bukan hanya sekadar untuk membina kekayaan dan memajukan teknologi,” katanya.
Anwar berkata Putrajaya mengalu-alukan pelaburan dan perkongsian yang dapat memperkukuh industri domestik, mengembangkan perusahaan tempatan, membangunkan modal insan, serta menyediakan peluang kepada ekonomi sedang pesat membangun menyertai aktiviti yang mempunyai nilai lebih tinggi.-UTUSAN.











