SISPAA bukan alat menekan guru

SISPAA bukan alat menekan guru

SISPAA sewajarnya menjadi jambatan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan, bukannya alat untuk menekan mana-mana pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONGRES Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menyokong penggunaan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sebagai salah satu mekanisme rasmi untuk membolehkan masyarakat menyampaikan aduan, pandangan dan maklum balas terhadap penyampaian perkhidmatan awam, termasuk dalam sektor pendidikan.

Namun begitu, mekanisme aduan boleh disalahgunakan sekiranya laporan dibuat berasaskan emosi, salah faham, maklumat tidak lengkap atau pertikaian peribadi. Keadaan ini boleh menimbulkan tekanan kepada guru, menjejaskan reputasi profesional dan mengganggu tumpuan terhadap tugas mendidik.

Sekiranya pengendalian aduan yang tidak seimbang menyebabkan guru berasa bimbang dan keliru untuk melaksanakan tanggungjawab profesional, termasuk menegur salah laku murid, menguatkuasakan disiplin secara berhemah dan mengambil tindakan yang dibenarkan demi keselamatan serta pembentukan sahsiah murid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdapat juga kes yang mengambil masa terlalu lama untuk disiasat dan dimuktamadkan sehingga guru yang sedang disiasat ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), atau lebih dikenali sebagai di-pool, untuk tempoh yang terlalu lama tanpa penyelesaian yang jelas.

Keadaan sedemikian bukan sahaja memberi kesan kepada emosi, kebajikan dan reputasi profesional guru, malah boleh menjejaskan kelancaran pengajaran dan pembelajaran serta kesinambungan pendidikan murid di sekolah.

Bagi memastikan SISPAA berfungsi secara berkesan dan tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga pendidik, KONGRES mencadangkan supaya:

Siasatan yang adil dan telus dilaksanakan dengan meneliti bukti, keterangan semua pihak serta konteks kejadian sebelum sebarang keputusan dibuat.

Hak guru untuk membela diri dipelihara melalui peluang memberikan penjelasan, mengemukakan bukti dan mendapatkan panduan melalui saluran yang sewajarnya.

Aduan berunsur fitnah atau penyalahgunaan saluran ditangani mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, tanpa menghalang aduan yang dibuat dengan niat baik.

Garis panduan pengendalian aduan pendidikan diperkemas supaya perbezaan antara teguran mendidik, tindakan disiplin yang dibenarkan dan salah laku dapat dinilai dengan jelas.

Saluran komunikasi ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah diperkukuh bagi menggalakkan penyelesaian awal melalui perbincangan profesional, tanpa menjejaskan hak untuk membuat aduan rasmi apabila diperlukan.

Kebajikan dan kesejahteraan mental guru diberikan perhatian, termasuk dengan mengurangkan beban pentadbiran aduan yang berulang atau tidak berasas serta memastikan kerahsiaan pihak terlibat dipelihara.

Tempoh siasatan dan penyelesaian kes SISPAA dipantau dengan lebih berkesan, dengan garis masa yang munasabah, pemakluman perkembangan kes serta tindakan susulan yang jelas bagi mengelakkan kes tertangguh terlalu lama.

Penempatan sementara guru di PPD atau JPN dinilai secara berkala berdasarkan keperluan dan perkembangan siasatan. Penempatan sedemikian tidak seharusnya berlarutan tanpa alasan yang munasabah sehingga menjejaskan kebajikan guru dan tugas hakiki di sekolah.

Keputusan kes dimuktamadkan dengan sewajarnya, iaitu tindakan diambil sekiranya salah laku terbukti, manakala guru yang tidak didapati bersalah dibenarkan kembali bertugas mengikut tatacara yang berkuat kuasa demi memastikan kebajikan murid dan kelancaran pembelajaran terus terpelihara.

SISPAA sewajarnya menjadi jambatan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan, bukannya alat untuk menekan mana-mana pihak. Setiap aduan yang berasas perlu diselesaikan dengan tegas dan profesional, manakala setiap guru yang diadu perlu dilayan secara adil dan bermaruah. – UTUSAN

MOHAMAD ZAPAWI MAMAT
Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini