KANGAR: Institut Jantung Negara (IJN) melatih 40 orang guru daripada 40 buah sekolah di Perlis, termasuk dua pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, dalam kemahiran Sokongan Hidup Asas (CPR) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan di sekolah.
Latihan berkenaan dilaksanakan menerusi program Catch ’Em Young dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, bertujuan meningkatkan kesedaran awal serta keupayaan tindak balas pantas terhadap kecemasan jantung dalam kalangan warga pendidik.
Program latihan itu dikendalikan empat jurulatih CPR bertauliah IJN dan merangkumi latihan praktikal CPR dewasa, penggunaan AED, CPR bayi dan kanak-kanak serta pengurusan kes tercekik.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md. Taib berkata, guru merupakan barisan hadapan yang sering berdepan situasi kecemasan di sekolah, sekali gus menjadikan latihan tersebut amat penting dalam usaha menyelamatkan nyawa.
“Melengkapkan guru dengan pengetahuan CPR dan AED, kita dapat memperkukuh rantaian kelangsungan hidup serta meningkatkan peluang untuk menyelamatkan nyawa, khususnya dalam situasi kritikal melibatkan kanak-kanak sebelum bantuan perubatan tiba,” katanya.
Pendedahan awal kepada pengetahuan Sokongan Hidup Asas bukan sahaja membina keyakinan, malah mampu memupuk budaya kesiapsiagaan dalam komuniti sekolah.
Menerusi program berkenaan, IJN berhasrat memastikan kesedaran dan kemahiran menyelamatkan nyawa dapat diterapkan dari peringkat awal serta diperluas ke peringkat akar umbi.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif libat urus berterusan IJN dalam mempromosikan kesedaran kesihatan kardiovaskular dan literasi CPR, di samping memperkasa pendidik sebagai responden pertama dalam komuniti.
IJN akan terus bekerjasama dengan institusi pendidikan serta agensi kerajaan bagi memperluaskan latihan CPR dan menggalakkan penggunaan AED secara lebih meluas, selaras dengan usaha nasional meningkatkan kadar kelangsungan hidup akibat serangan jantung mengejut. – UTUSAN









