Cadangan penubuhan sebuah universiti khusus dalam bidang sains sukan seperti yang diketengahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir merupakan satu langkah yang positif dalam usaha memperkukuh pendidikan tinggi dan pembangunan sukan negara.
Bidang sukan pada hari ini bukan lagi tertumpu kepada pencapaian atlet dalam pertandingan semata-mata tetapi turut melibatkan penyelidikan, perubatan sukan, psikologi, teknologi serta pengurusan industri sukan.
Di negara maju, pendidikan tinggi dalam bidang sukan telah lama diberikan perhatian. Antaranya, Universiti Sukan Cologne di Jerman yang ditubuhkan pada 1947 merupakan sebuah universiti khusus dalam bidang sains sukan.
Universiti Loughborough di United Kingdom menduduki tempat pertama dunia bagi kategori subjek berkaitan sukan dalam Ranking Universiti Dunia QS mengikut subjek pada 2026.
Di Malaysia, sebanyak 11 institusi pendidikan tinggi awam dan swasta menawarkan kursus berkaitan bidang sukan dengan jumlah enrolmen seramai 4,726 pelajar warganegara pada peringkat sarjana muda.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah mempunyai asas pendidikan sains sukan yang boleh terus dibangunkan.
Sehubungan itu, cadangan penubuhan universiti ini perlu diteliti dengan mengambil kira keperluan negara, peluang pekerjaan graduan, kepakaran tenaga pengajar serta kemudahan penyelidikan.
Penubuhannya juga perlu melengkapi peranan universiti sedia ada supaya manfaatnya dapat dirasai secara lebih luas.
Apa yang lebih penting, universiti ini diharapkan dapat membuka peluang kepada atlet negara untuk melanjutkan pengajian dan membina masa depan yang lebih terjamin selepas menamatkan kerjaya dalam sukan.
Kita mahu melihat atlet negara bukan sahaja berjaya dalam arena sukan tetapi turut mempunyai masa depan yang baik dalam pendidikan dan kerjaya. Kejayaan sukan bukan sekadar pingat yang dimenangi tetapi juga masa depan mereka yang telah mengharumkan nama negara.
Cadangan ini diharap dapat direalisasikan melalui perancangan yang teliti supaya penubuhannya benar-benar memberi manfaat kepada atlet, mahasiswa dan pembangunan sukan negara dalam jangka panjang. – UTUSAN
MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD SABRI
Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK)











