KESUKARAN berkomunikasi dengan pihak berkuasa ketika kecemasan mungkin bukan antara isu yang lazim mendapat perhatian dalam perancangan pembangunan bandar.
Namun, persoalan itu menjadi antara perkara yang diketengahkan seorang peserta daripada komuniti pekak dalam Townhall Belia KL pada 12 Oktober lalu.
Dengan bantuan jurubahasa isyarat, beliau mencadangkan supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaja atau menganjurkan kelas bahasa isyarat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap keperluan komunikasi komuniti berkenaan.
Beliau turut menyentuh peluang pekerjaan, penggunaan kemudahan awam dan halangan mendapatkan bantuan apabila komunikasi dengan petugas menjadi kesukaran utama.
Cadangan itu antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud baru-baru ini.
Aspek pekerjaan yang dibangkitkan peserta berkenaan juga menunjukkan bahawa penyertaan komuniti orang kurang upaya (OKU) dalam ekonomi bandar tidak hanya bergantung pada kewujudan peluang, tetapi turut dipengaruhi kemudahan komunikasi dan persekitaran kerja yang sesuai.
Kos kehidupan
Tekanan kos kehidupan menjadi antara isu yang mendasari pandangan belia, khususnya berkaitan pekerjaan, kediaman dan pengangkutan.
Cadangan penyediaan penginapan transit, kediaman berkongsi pada kadar rendah serta pembangunan rumah mampu milik memperlihatkan keperluan penyelesaian perumahan mengikut kemampuan dan peringkat kehidupan golongan muda.
Turut dibincangkan ialah kemungkinan memperkenalkan pas pengangkutan awam RM30 sebulan khusus untuk belia, berbanding kemudahan My50 sedia ada.
Cadangan menambah petak parkir motosikal di pusat bandar turut memperlihatkan cabaran DBKL mengurus permintaan pengguna dalam keadaan ruang pembangunan semakin terhad.
Di kawasan komersial yang padat, keperluan parkir perlu diseimbangkan dengan laluan pejalan kaki, aktiviti perniagaan, akses bangunan dan kelancaran lalu lintas.
Cabaran itu turut dipengaruhi kecenderungan sebahagian besar penunggang yang mahu meletakkan motosikal berhampiran destinasi, berbanding menggunakan kemudahan parkir sedia ada.
Keadaan ini menjadikan penentuan lokasi parkir, keselesaan laluan pejalan kaki dan pematuhan pengguna sama penting dengan penambahan bilangan petak.
Persoalan serupa timbul dalam penyediaan ruang perniagaan apabila peserta mengetengahkan cadangan pasar kreatif, tapak niaga sementara dan kemudahan pelesenan.
Keutamaan pembangunan
Perbincangan turut merangkumi keperluan kawasan hijau, kemudahan rekreasi, kegiatan kebudayaan dan keseimbangan kehidupan dengan pekerjaan.
Cadangan memperkukuh penyertaan belia dalam Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta mengadakan pertandingan reka bentuk kemudahan awam turut merintis penglibatan generasi muda pada peringkat perancangan.
Bagaimanapun, pelaksanaan sebahagian usul memerlukan penilaian lanjut dari segi kemampuan kewangan, kesesuaian lokasi dan bidang kuasa agensi berkaitan.
Di sinilah tindakan susulan menjadi komponen penting selepas dialog, termasuk mengelaskan cadangan mengikut keutamaan, mengenal pasti pihak bertanggungjawab dan menjelaskan perkembangan pelaksanaannya.
Maklum balas tersebut memberi DBKL asas tambahan untuk memperhalusi perancangan serta penyampaian perkhidmatan, sekali gus memperluas penyertaan masyarakat dalam pembangunan Kuala Lumpur yang mengambil kira keperluan pelbagai komuniti. – UTUSAN
MOHAMED AZLAN AHMAD ZAMBRY











