Russia, Ukraine setuju gencatan senjata di Oleshky

Russia, Ukraine setuju gencatan senjata di Oleshky

GAMBAR fail askar Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine dan Russia bersetuju menguatkuasakan gencatan senjata di bandar Oleshky yang kini diduduki tentera Russia.

Kesepakatan dicapai menerusi perantaraan Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump, sementara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, mengesahkan perunding damai kedua-dua pihak bakal bertemu bulan depan bagi pusingan rundingan baharu.

Kedua-dua belah pihak memaklumkan gencatan senjata tersebut akan mula berkuat kuasa pada 27 Oktober ini. Langkah itu membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan serta laluan pemindahan penduduk awam menerusi koridor khas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ekoran usaha gigih AS untuk menamatkan perang yang berlarutan selama empat tahun setengah itu, Zelenskyy memberitahu bahawa perunding dari Ukraine, Russia dan AS telah bersetuju untuk mengadakan perjumpaan peringkat teknikal pada separuh pertama bulan November di Abu Dhabi.

Seorang pegawai AS kemudiannya mengesahkan bahawa pusingan rundingan seterusnya berkemungkinan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi, sama ada di Abu Dhabi atau Switzerland.

Zelenskyy turut menzahirkan harapan agar pertemuan antara pemimpin utama negara berkenaan dapat direalisasikan selepas rundingan peringkat teknikal tersebut.

Sebelum ini, siri rundingan damai yang diketuai AS terhenti pada Februari lalu tanpa sebarang kemajuan konkrit bagi menamatkan konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Russia terus menuntut Ukraine menyerahkan keseluruhan wilayah Donbas di timur termasuk kawasan yang belum dikuasai tentera Moscow manakala Kyiv tegas menolak sebarang penyerahan wilayah yang masih di bawah kawalannya.

Usaha damai terbaharu ini menyusul selepas timbul krisis diplomatik antara Washington dan Kyiv sejak beberapa minggu lalu, susulan beberapa tindakan Presiden AS, Donald Trump, yang dilihat lebih berpihak kepada Russia.

Ia turut melibatkan sekatan ke atas sistem komunikasi satelit Starlink milik SpaceX yang digunakan oleh Ukraine untuk menangkis serangan.

Bagaimanapun, Trump pada Jumaat berjanji akan menyelesaikan isu berkenaan dan sedia berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, sekiranya Ukraine masih berdepan masalah akses.

Di bandar Oleshky yang diduduki tentera Russia sejak Februari 2022, penduduk tempatan dilaporkan berdepan krisis bekalan makanan yang semakin meruncing.

“Kedua-dua negara bersetuju untuk menghentikan seketika sebarang tindakan ketenteraan di Oleshky bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk, seterusnya menyiapkan proses pemindahan orang awam melalui laluan selamat yang ditetapkan,” menurut kenyataan rasmi Rumah Putih.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini