NATO pantau rancangan satelit nuklear Russia

NATO pantau rancangan satelit nuklear Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSEL: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan mempertahankan wilayahnya daripada ancaman di angkasa lepas susulan laporan Russia sedang merancang melancarkan satelit bersenjata nuklear.

Ketua NATO, Mark Rutte berkata, pakatan itu akan memastikan setiap inci wilayah anggotanya, termasuk daripada ancaman di angkasa lepas.

“Kami akan sentiasa memastikan setiap inci wilayah NATO dilindungi, termasuk memastikan keselamatan dalam aspek angkasa lepas,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan media Jerman, maklumat risikan mengenai kemungkinan pelancaran satelit itu dalam tempoh 60 hari akan datang sudah dikongsi antara negara anggota NATO bulan ini.

Bagaimanapun, negara yang mengeluarkan laporan risikan berkenaan tidak dikenal pasti.

Dalam sidang media di Berlin, Rutte berkata, NATO mempunyai pelbagai pilihan tindak balas bagi menghadapi sebarang ancaman.

“Dalam aspek ketenteraan, kami akan sentiasa menilai keupayaan pencegahan dan pertahanan serta membuat penambahbaikan jika perlu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, beliau belum meneliti laporan terbaharu itu, namun menyifatkan dakwaan berdasarkan sumber tidak dikenal pasti sebagai tidak wajar dipandang serius.

Kedutaan Russia di Berlin pula menolak dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas dan menyifatkan laporan itu sebahagian daripada kempen propaganda.

Laporan penyiar NDR dan WDR serta akhbar Sueddeutsche Zeitung yang memetik sumber tentera dan risikan Jerman tanpa mendedahkan identiti mereka, menyatakan satelit Russia itu dikenali sebagai ‘Sputnik-S’ serta dilengkapi kepala peledak nuklear.

Satelit berkenaan berpotensi digunakan untuk mengganggu atau memusnahkan satelit lain, termasuk satelit penting bagi tujuan komunikasi dan pemantauan.

Ketika berdiri bersama Rutte, Canselor Jerman, Friedrich Merz tidak mengesahkan atau menafikan laporan mengenai rancangan Russia itu, sebaliknya berkata ia ‘mendedahkan tahap ketegangan yang jelas sanggup dicetuskan Moscow’.

“Laporan mengenai perancangan Russia untuk menempatkan senjata nuklear di angkasa lepas bukan perkara baharu, namun ia tetap mengejutkan,” katanya.

Sebelum ini, jurucakap kerajaan Jerman juga tidak mengesahkan atau menafikan laporan berkenaan, namun menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu, lapor AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini