PERPADUAN bukan sekadar slogan atau warisan sejarah untuk dikenang, sebaliknya tanggungjawab bersama setiap rakyat dalam menentukan masa depan negara. Inilah mesej utama yang ingin diketengahkan Russia menerusi sambutan Hari Perpaduan Nasional pada 4 November setiap tahun.
Bagi Russia, sebuah negara yang dihuni lebih daripada 190 bangsa dan kumpulan etnik, perpaduan mempunyai makna yang amat istimewa. Kepelbagaian bahasa, agama, adat resam dan budaya bukan penghalang kepada keharmonian, malah menjadi kekuatan yang memperkaya identiti nasional serta warisan bersama.
IKTIBAR DARIPADA SEJARAH
Sambutan Hari Perpaduan Nasional berakar daripada peristiwa bersejarah pada 1612 apabila pasukan sukarelawan rakyat yang dipimpin saudagar Kuzma Minin dan Putera Dmitry Pozharsky berjaya membebaskan Moscow daripada penceroboh asing.
Peristiwa itu berlaku ketika Russia melalui Zaman Kekacauan, iaitu tempoh penuh ketidakstabilan dan perpecahan. Namun, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan wilayah berjaya mengetepikan perbezaan demi mempertahankan tanah air serta memulihkan keamanan negara.
Sejarah ini membuktikan kekuatan sesebuah negara bukan hanya bergantung pada keupayaan ketenteraan atau kekayaan ekonomi tetapi turut ditentukan oleh kesatuan hati rakyat.
Cinta kepada tanah air, sikap saling membantu dan kesediaan mengutamakan kepentingan bersama menjadi asas penting dalam menghadapi cabaran.
Russia terus memelihara kepelbagaian masyarakatnya dengan mengiktiraf sumbangan setiap kumpulan etnik dalam membentuk warisan negara.
Presiden Russia, Vladimir Putin, turut berulang kali menekankan kepentingan keharmonian dan sikap saling menghormati.
Sehubungan itu, 2026 diisytiharkan sebagai Tahun Perpaduan Rakyat Rusia menerusi dekri Presiden, mencerminkan kepentingan agenda perpaduan dalam pembangunan negara.
RUSSIA DAN MALAYSIA: KEPELBAGAIAN SEBAGAI KEKUATAN
Apabila menelusuri makna Hari Perpaduan Nasional, saya melihat persamaan yang jelas antara Russia dengan Malaysia. Kedua-duanya merupakan negara berbilang bangsa dan agama yang menjadikan kepelbagaian budaya sebagai sebahagian daripada identiti nasional.
Malaysia membuktikan masyarakat daripada latar belakang etnik dan kepercayaan berbeza mampu hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni. Sikap saling menghormati, toleransi serta kesediaan memahami perbezaan menjadi asas kepada kestabilan dan pembangunan negara.
Di Russia dan Malaysia, kemajuan dalam bidang ekonomi, sains, pendidikan, kesenian dan kehidupan sosial turut dibina melalui sumbangan masyarakat pelbagai latar belakang. Hal ini memperlihatkan kemakmuran negara merupakan hasil usaha bersama, bukan satu kelompok semata-mata.
Saya yakin hubungan Russia-Malaysia yang berteraskan kesaksamaan, saling menghormati dan kepentingan bersama mempunyai potensi besar untuk terus berkembang. Peluang kerjasama bukan sahaja terbuka dalam bidang perdagangan, ekonomi dan teknologi, malah merangkumi kebudayaan, pendidikan serta kemanusiaan.
Satu peribahasa Melayu yang amat saya gemari ialah ‘jauh di mata, dekat di hati’. Ungkapan ini tepat menggambarkan hubungan Russia dan Malaysia. Walaupun dipisahkan ribuan kilometer serta mempunyai latar sejarah dan budaya berbeza, jarak geografi tidak menghalang persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Perpaduan merupakan asas kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran. Masa depan yang lebih baik hanya dapat dibina apabila rakyat bersatu, menghormati perbezaan dan mengutamakan kepentingan bersama. –UTUSAN
PENULIS ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Russia.











