JERANTUT: Seorang peniaga ikan patin dan tilapia sangkar di Kampung Jerantut Feri di sini terpaksa menurunkan harga jualan kepada RM19 sekilogram berbanding RM22 sekilogram sebelum ini bagi menghabiskan stok simpanan ikan yang dimilikinya.
Peniaga ikan sangkar Jerantut Feri, Muhairi Azman, 26, berkata, dia perlu menghabiskan stok ikan yang masih ada di sangkar bagi mengelakkan kerugian berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda menyebabkan banjir dan memusnahkan sangkar ikan.
“Saya perlu menghabiskan stok kira-kira 20,000 ekor ikan patin dan ikan tilapia yang masih ada diternak di sangkar Sungai Pahang milik bapa, Azman Zainuddin kerana MTL sudah bermula menyebabkan air sungai naik mendadak dan kemungkinan berlaku banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambahnya, stok ikan yang masih ada di sangkar perlu dihabiskan sebelum berlaku banjir kerana bencana setiap tahun itu kerap menghanyutkan sangkar termasuk ternakan ikan berkenaan.
“Sebagai usaha awal, kami perlu menghabiskan ikan patin dan ikan tilapia yang mencapai usia matang lebih lima bulan dijual di gerai berdekatan Jalan Jerantut ke Maran di kampung itu sebelum menarik dan menambat sangkar di tempat selamat bagi mengelak dihanyut air Sungai Pahang,” katanya lagi. – UTUSAN











