PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe tetap optimis Harimau Malaya mampu mengekalkan momentum positif dan memberikan tentangan sengit dalam aksi persahabatan antarabangsa meskipun skuad kali ini tidak dibarisi kelompok pemain terbaik negara.
Selepas tidak membariskan tonggak utama dari Johor Darul Ta’zim (JDT), pengendali sementara Harimau Malaya itu menerima tamparan hebat apabila enam pemain Selangor FC terpaksa menarik diri pada saat akhir dengan alasan kecederaan.
Jurulatih berusia 58 tahun itu berkata, aksi persahabatan menentang China dan Yaman amat penting dalam memastikan persiapan pasukan kebangsaan berjalan lancar menjelang tugasan lebih mencabar tahun hadapan.
Menurutnya, momentum positif yang diraih sepanjang kempen Piala ASEAN FIFA sebelum ini perlu diteruskan bagi memastikan Harimau Malaya berada pada landasan tepat untuk menghadapi saingan akan datang.
Beliau berkata, kedua-dua perlawanan itu bukan sekadar medan menguji kekuatan pasukan, sebaliknya menjadi platform penting untuk menilai kemampuan pemain sebelum menghadapi kempen kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.
Mengulas sasaran menentang China, Tan Cheng Hoe mengakui kekuatan lawan itu tidak boleh dipandang rendah meskipun skuad berkenaan mengalami tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Katanya, China pastinya mahu mengelak daripada mencatat kekalahan keempat berturut-turut, sekali gus menjadikan pertemuan itu cabaran yang perlu dihadapi dengan penuh persiapan dan rasa hormat.
“Kita tahu kekuatan pasukan China walaupun mereka sudah kalah tiga perlawanan berturut-turut. Saya rasa mana-mana pasukan atau jurulatih pun tidak ingin kalah kali keempat. Sudah tentu kita kena hormati pasukan China dengan persediaan mereka,” katanya.
Selain China, beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah kemampuan Yaman yang dilihat berada pada tahap terbaik berdasarkan prestasi mereka dalam saingan Piala Gulf sebelum ini.
Dalam masa sama, Cheng Hoe mengakui peluang yang diberikan kepada pemain baharu membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan corak taktikal pasukan kebangsaan selain membuktikan kemampuan masing-masing di pentas antarabangsa.
Beliau turut mengakui jurulatih sering berdepan dilema dalam mendapatkan khidmat pemain terbaik, terutama apabila perlu mengambil kira kepentingan kelab dan pasukan kebangsaan secara serentak.
“Sebagai jurulatih kita mempunyai perasaan bercampur baur juga. Kita berharap dapat situasi menang-menang. Pastinya kita mahukan yang terbaik, tetapi pada masa sama kita perlukan mata ranking FIFA untuk JDT.
“Jadi, sebagai jurulatih saya positif dengan siapa sahaja yang akan datang ke pasukan kebangsaan, saya yakin pemain-pemain juga mempunyai motivasi, mempunyai minat untuk pasukan kebangsaan juga,” katanya.
Bagaimanapun, beliau kekal positif terhadap komitmen pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan yakin mereka mempunyai motivasi serta minat untuk menyarung jersi negara.
“Kehadiran pemain berkualiti sememangnya memberikan impak berbeza kepada pasukan, namun peluang kepada pemain muda juga perlu diberikan demi memastikan Harimau Malaya memiliki barisan pelapis yang lebih mantap pada masa depan,” katanya.- UTUSAN











