BUCHAREST: Serangan dron Russia menyasarkan sekurang-kurangnya 12 kapal dagang di Laut Hitam sejak beberapa minggu lalu, mengorbankan lebih ramai pelaut berbanding jumlah kematian dalam perang Iran.
Matlamat Russia adalah untuk menyekat perdagangan melalui pelabuhan Ukraine, yang mengeksport hampir keseluruhan bijirin negara itu.
Namun, beberapa serangan berlaku berhampiran atau dalam perairan wilayah dua negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Romania dan Bulgaria.
Kempen Russia itu menyusul beberapa bulan selepas Ukraine melancarkan serangan terhadap kapal-kapal yang menggunakan pelabuhan Rusia di Laut Hitam dan Laut Azov yang bersebelahan.
Menurut sumber perkapalan dan keselamatan, Russia beberapa kali menggabungkan penggunaan dron maritim dan udara dalam serangan berkenaan.
Russia juga mula menggunakan dron berkuasa jet yang baru dibangunkan, lebih pantas dan sukar dipintas, selain dron yang mampu menyasarkan objek bergerak.
Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 30 pelaut terbunuh atau hilang dalam peningkatan serangan terbaharu itu, menurut perkhidmatan pemantauan maritim serta kerajaan Romania dan Bulgaria.
Dalam serangan terbaharu, tiga dron menyasarkan sebuah kapal kontena ketika menghampiri pelabuhan Romania minggu lalu.
Sebuah pesawat pengawasan Perancis merakam dron permukaan menghala ke kapal berkenaan, Contship Jet, manakala rakaman video kemudian menunjukkan kapal itu condong dengan ketara sebelum tenggelam.
Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha berkata, peningkatan serangan itu menjadikan Laut Hitam sebagai zon berbahaya bagi perkapalan awam.
Russia meningkatkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap pelabuhan Ukraine di Laut Hitam, khususnya Odesa, sepanjang musim panas.
Ukraine mengeksport 1.09 juta tan gandum pada September, iaitu separuh daripada 2.05 juta tan yang dieksport dalam tempoh sama tahun sebelumnya, menurut angka kerajaan.-AGENSI











