Integriti asas kepimpinan masa depan

Integriti asas kepimpinan masa depan

PENGANJURAN Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 yang diadakan pada Oktober lalu jelas memberi fokus membentuk insan berintegriti, berani menolak rasuah serta sanggup mempertahankan kebenaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGANJURAN Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 yang menghimpunkan lebih 1,200 mahasiswa dari 60 negara merupakan inisiatif yang wajar dihargai.

Gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk generasi pemimpin baharu yang berilmu, berani, berperikemanusiaan dan memiliki hati nurani memperlihatkan kesedaran masa depan negara memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual, malah bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Namun, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan gagasan sebesar ini perlu dinilai melangkaui jumlah peserta dan pengisian program.

Memuatkan artikel berkaitan…

Persoalan utamanya bukan sekadar berapa ramai pemimpin muda yang mampu dilahirkan tetapi sejauh mana mereka sanggup mempertahankan integriti apabila diberikan kuasa dan tanggungjawab.

Malaysia tidak ketandusan individu berpendidikan tinggi. Negara mempunyai ramai profesional, ahli akademik, pakar ekonomi, peguam, jurutera dan pentadbir yang memiliki kelayakan serta kepakaran masing-masing. Namun, isu penyelewengan, ketirisan wang awam, penyalahgunaan kuasa dan kelemahan tadbir urus masih menjadi cabaran.

Keadaan ini membuktikan kecemerlangan akademik tidak semestinya menjamin kemuliaan akhlak. Ilmu tanpa integriti boleh disalahguna sehingga melahirkan penjenayah kolar putih yang lebih sukar dikesan kerana kepakaran mereka digunakan untuk memanipulasi sistem.

Rasuah hari ini tidak semestinya berlaku melalui penyerahan wang secara tersembunyi. Perbuatan itu boleh diselindungkan melalui kontrak yang rumit, penggunaan syarikat proksi, manipulasi tender, konflik kepentingan dan transaksi kewangan berlapis. Semua ini kadangkala memerlukan pengetahuan serta kemahiran profesional.

Ironinya, semakin tinggi kepakaran seseorang, semakin besar juga kemampuannya mengeksploitasi kelemahan sistem sekiranya tidak dibimbing nilai moral.

MCW tidak mempertikaikan kepentingan pendidikan tinggi, sebaliknya mahu institusi pendidikan melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah teknikal, malah berani mempertahankan kebenaran. Integriti bukan sekadar mengetahui perkara yang betul dan salah tetapi keberanian memilih jalan yang benar walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan peribadi.

Program pembangunan kepimpinan tidak seharusnya terlalu tertumpu pada ceramah motivasi, penampilan tokoh terkenal, penyampaian sijil dan peluang membina jaringan. Semua itu mempunyai nilai tersendiri tetapi belum mencukupi untuk membentuk keberanian moral.

Mahasiswa perlu dilatih menghadapi dilema integriti dalam kehidupan sebenar. Bagaimanakah seorang pegawai muda harus bertindak apabila diarahkan meluluskan projek yang tidak memenuhi syarat?

Situasi sedemikian perlu dijadikan sebahagian latihan kepimpinan kerana ujian sebenar bukan terletak pada kebolehan berucap tetapi ketegasan membuat keputusan ketika berhadapan tekanan.

MCW menyambut baik penekanan Perdana Menteri terhadap pembentukan hati nurani. Bagaimanapun, usaha itu tidak boleh bergantung pada nasihat moral semata-mata. Pemimpin berintegriti juga memerlukan institusi yang melindungi tindakan jujur serta mengambil tindakan adil terhadap penyalahgunaan kuasa.

Sukar untuk meminta generasi muda menolak rasuah sekiranya mereka melihat layanan berbeza terhadap individu berpengaruh dan rakyat biasa.

Begitu juga, keberanian melaporkan salah laku sukar dipupuk jika pemberi maklumat masih dibayangi ketakutan kehilangan pekerjaan atau menerima tindakan balas.

Sehubungan itu, MCW menggesa supaya agenda iFUTURE diselaraskan dengan pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh. Antaranya termasuk memperkukuh kebebasan dan kebertanggungjawaban Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memperbaiki perlindungan pemberi maklumat, mempercepat pembaharuan pembiayaan politik serta meningkatkan ketelusan perolehan kerajaan.

Pengisytiharan harta dan pengurusan konflik kepentingan juga perlu disokong mekanisme pengesahan serta penguatkuasaan yang jelas. Seruan melahirkan pemimpin bersih mesti disertai persekitaran pentadbiran yang menutup ruang kepada amalan tidak berintegriti.

Dalam masa sama, institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai peranan besar dalam membentuk budaya antirasuah. MCW mencadangkan pendidikan integriti dijadikan komponen wajib dalam program kepimpinan mahasiswa, bukan sekadar ceramah pilihan atau kegiatan sampingan.

Mahasiswa perlu didedahkan kepada kajian kes sebenar, latihan menghadapi konflik kepentingan, simulasi membuat keputusan beretika dan kefahaman mengenai undang-undang pencegahan rasuah. Pengurusan universiti juga mesti menunjukkan teladan melalui ketelusan perolehan, pelantikan, penggunaan dana dan pentadbiran.

Universiti sepatutnya menjadi medan melahirkan pemikir bebas yang berani menegur kesilapan, bukannya individu yang hanya mahir mengikut kehendak pihak berkuasa. Budaya pilih kasih, kronisme dan ketidakadilan yang berlaku dalam institusi pendidikan boleh merosakkan keyakinan mahasiswa terhadap nilai integriti.

 

TEKNOLOGI BUKAN PENGGANTI HATI NURANI

Penekanan iFUTURE terhadap teknologi dan kecerdasan buatan (AI) juga bertepatan dengan perubahan dunia semasa. Teknologi mampu membantu mengesan transaksi mencurigakan, mengenal pasti corak penyelewengan dan meningkatkan ketelusan pentadbiran.

Namun, kemajuan yang sama boleh disalahgunakan untuk menghasilkan dokumen palsu, memanipulasi maklumat dan menyembunyikan salah laku dengan lebih canggih. Oleh itu, pemimpin masa depan mesti memahami teknologi hanyalah alat. Tanpa nilai kemanusiaan dan pertanggungjawaban, kemajuan tersebut boleh menjadi instrumen penindasan serta penyelewengan.

UKUR KEJAYAAN MELALUI TINDAKAN

Kejayaan iFUTURE 2026 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peserta, negara yang mengambil bahagian atau tokoh yang hadir semata-mata. Penganjur perlu menyediakan mekanisme susulan bagi menilai perubahan sikap dan tindakan peserta selepas program berakhir.

Antara perkara yang boleh dinilai termasuk pelaksanaan projek integriti di kampus, penglibatan dalam usaha meningkatkan ketelusan organisasi serta keberanian menyuarakan bantahan terhadap penyalahgunaan kuasa.

Program kepimpinan yang berkesan sepatutnya meninggalkan kesan berpanjangan, bukan sekadar kenangan dan sijil penyertaan.

MCW juga bersedia berkongsi pengalaman masyarakat sivil bagi memperkukuh pendidikan antirasuah dan kepimpinan beretika dalam kalangan mahasiswa.

Akhirnya, tanggungjawab membentuk pemimpin masa depan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu generasi muda. Pemimpin hari ini mesti menunjukkan teladan melalui keputusan, tindakan dan prinsip yang dipertahankan.

Tidak adil meminta anak muda menolak rasuah jika budaya penaungan politik, konflik kepentingan dan penyalahgunaan kedudukan masih dipandang ringan.

MCW percaya iFUTURE 2026 berpotensi menjadi pemangkin perubahan sekiranya agenda pembangunan kepimpinan disertai pembaharuan institusi, pendidikan integriti dan teladan politik yang konsisten.

Pemimpin berilmu mampu membangunkan negara tetapi hanya kepimpinan yang berintegriti dapat memelihara masa depannya. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini