Integriti kita, nilai kita: Maruah negara bermula dengan nilai

Integriti kita, nilai kita: Maruah negara bermula dengan nilai

MONA OTHMAN - Kredit Institut Integriti Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap kali negara digegarkan dengan isu rasuah, ketirisan, penipuan atau penyalahgunaan kuasa, reaksi masyarakat hampir sama. Hukuman perlu diperberatkan, penguatkuasaan mesti dipertingkatkan dan tindakan tegas hendaklah diambil. Tuntutan itu wajar kerana tiada siapa mahu melihat amanah dikhianati.

Namun selepas bertahun-tahun memperkukuh undang-undang, menambah baik sistem dan memperkenalkan pelbagai inisiatif integriti, satu persoalan masih belum terjawab. Mengapa pelanggaran akauntabiliti terus berlaku?

Barangkali sudah tiba masanya kita mengakui bahawa cabaran terbesar negara bukan semata-mata kelemahan penguatkuasaan. Cabaran sebenar ialah kemerosotan nilai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sepanjang penglibatan saya dalam bidang audit sektor awam, tadbir urus dan kini pembudayaan integriti, saya mendapati kebanyakan kelemahan organisasi bukan berpunca daripada pegawai yang tidak memahami peraturan. Mereka tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Namun pada saat membuat keputusan, ada ketikanya kepentingan diri mengatasi akauntabiliti. Di situlah masalah sebenar bermula.

Rasuah tidak bermula apabila wang bertukar tangan. Ia bermula apabila hati mula menghalalkan sesuatu yang diketahui salah.

Sebab itu, tema Sambutan Bulan Integriti Nasional tahun ini, “Integriti Kita, Nilai Kita“, hadir tepat pada masanya. Tema ini mengingatkan kita bahawa integriti bukan sekadar isu pematuhan atau ketakutan terhadap hukuman. Integriti ialah cerminan nilai yang membentuk cara kita berfikir, membuat pertimbangan dan menggunakan kuasa yang diamanahkan.

Hari Integriti Nasional yang disambut pada 5 November setiap tahun merupakan manifestasi komitmen negara untuk memperkukuh kejujuran, amanah dan tadbir urus yang baik. Semangat sambutan ini diteruskan sepanjang November menerusi Sambutan Bulan Integriti Nasional, yang mengajak kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, keluarga dan komuniti bersama-sama membudayakan integriti. Namun, nilai yang diraikan pada satu hari atau sepanjang satu bulan ini hanya akan bermakna apabila benar-benar diamalkan setiap masa.

Undang-undang mampu menghukum seseorang yang bersalah. Namun hanya nilai mampu menghalang seseorang daripada memilih untuk melakukan kesalahan itu.

Pandangan ini selari dengan penegasan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap kepentingan integriti kepimpinan melalui titah Baginda ketika Pembukaan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2002: “…kuasa yang diamanahkan, sama ada besar atau kecil, hendaklah digunakan sebaik-baiknya…”(Sultan Sharafuddin Idris Shah, 2002).

Pada 2003, ketika menyampaikan titah berkaitan tanggungjawab Speaker-Speaker Dewan, Baginda mengingatkan bahawa “…Sebagai pemimpin, Speaker-speaker sekalian, hendaklah adil, bijaksana, serta tidak berpihak kepada golongan tertentu. Speaker-speaker hendaklah mengambil sikap ‘without fear or favour’ di dalam menjalankan tugas…” (Sultan Sharafuddin Idris Shah, 2003).

Kedua-dua titah ini membawa mesej yang mendalam. Integriti bukan sekadar tidak melakukan rasuah, tetapi turut menuntut keberanian menggunakan kuasa secara adil, bebas daripada pengaruh dan kepentingan peribadi. Penyalahgunaan kuasa bukan sahaja mencemarkan maruah individu, malah menghakis kepercayaan rakyat serta kewibawaan institusi. Inilah ujian sebenar nilai seseorang pemimpin, iaitu bagaimana amanah dilaksanakan apabila berdepan tekanan, kepentingan dan peluang untuk menyalahgunakan kuasa.

Cabaran integriti hari ini juga jauh lebih kompleks berbanding sedekad lalu. Dunia digital membuka ruang yang luas kepada inovasi, tetapi dalam masa yang sama memperkenalkan risiko baharu. Kecerdasan buatan (AI), manipulasi maklumat, penipuan identiti, kandungan palsu dan penyalahgunaan data mengubah landskap integriti dengan begitu pantas. Teknologi berkembang setiap hari, tetapi pertimbangan moral manusia tidak semestinya berkembang pada kadar yang sama.

Justeru, membina masyarakat berintegriti tidak lagi boleh diserahkan kepada agensi penguat kuasa semata-mata. Integriti perlu menjadi tanggungjawab bersama. Keluarga membentuk asasnya, sekolah menyemai nilainya, institusi agama mengukuhkan jati dirinya, manakala organisasi dan kepimpinan menterjemahkannya dalam tindakan. Apabila salah satu daripada rantaian ini lemah, keseluruhan ekosistem akan menerima kesannya.

Kesedaran inilah yang menjadi teras Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES). Pendekatan ini mengalihkan fokus daripada sekadar pencegahan rasuah kepada usaha membina budaya yang meletakkan integriti sebagai norma sosial. Perubahan budaya sememangnya tidak berlaku dalam tempoh yang singkat, namun sejarah menunjukkan bahawa negara yang berjaya ialah negara yang menjadikan nilai sebagai asas pembangunannya.

Pada masa yang sama, Indeks Integriti Malaysia (InTeM) dibangunkan bagi memastikan usaha tersebut dapat dinilai secara lebih objektif. Dalam dunia yang semakin dipacu oleh data, sesuatu yang tidak diukur sukar diurus dengan berkesan. Pengukuran bukan sekadar menghasilkan angka, tetapi menjadi cermin kepada keberkesanan dasar dan tindakan yang dilaksanakan.

Semangat inilah yang akan dibawa dalam Konvensyen Integriti Nasional (KIN) 2026 sempena Sambutan Bulan Integriti Nasional. Forum utamanya bertemakan “Integriti Bermula dari Rumah: Memupuk Nilai ke Arah Masyarakat yang Sejahtera”, mengingatkan kita bahawa pembentukan karakter tidak bermula apabila seseorang memasuki alam pekerjaan, tetapi jauh lebih awal, iaitu di rumah dan di sekolah. Perbincangan yang merangkumi pendidikan, ekonomi, sains, teknologi dan inovasi serta belia pula membuktikan bahawa integriti hari ini bukan lagi isu yang berdiri sendiri, sebaliknya berkait rapat dengan hampir setiap aspek kehidupan.

Namun, sebesar mana pun strategi yang dirangka, secanggih mana pun teknologi yang dibangunkan dan setegas mana pun undang-undang yang digubal, semuanya tidak akan membawa makna jika nilai gagal dipertahankan. Negara tidak memerlukan lebih banyak slogan tentang integriti. Negara memerlukan lebih ramai individu yang berani mempertahankan akauntabiliti ketika tiada siapa memerhati, memilih kebenaran walaupun sukar dan meletakkan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita tanyakan bukan sekadar bagaimana hendak membanteras rasuah. Soalan yang lebih penting ialah apakah nilai yang sedang kita wariskan kepada generasi selepas kita?

Kerana sesebuah negara tidak kehilangan maruah apabila berdepan cabaran ekonomi atau perubahan teknologi. Sebuah negara mula kehilangan maruah apabila rakyatnya berhenti menghargai nilai. Sebaliknya, apabila nilai menjadi budaya, integriti tidak lagi perlu dipaksa. Ia akan lahir dalam setiap keputusan, setiap tindakan dan setiap akauntabiliti yang dipikul.

Itulah makna sebenar tema “Integriti Kita, Nilai Kita”. Nilai yang kita pertahankan hari ini akan menentukan maruah Malaysia pada masa hadapan. 

*Penulis ialah Ketua Pegawai Sektor Korporat, Institut Integriti Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini