LALUAN Rel Pantai Timur (ECRL) bakal memasuki fasa penting pembangunan infrastruktur negara apabila perkhidmatannya dijangka bermula pada 12 Disember ini. Laluan kereta api elektrik moden itu akan menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang, sekali gus membuka lembaran baharu dalam sistem pengangkutan negara.
Bagi kebanyakan rakyat, persoalan utama pastinya berkaitan harga tiket, tempoh perjalanan dan sama ada menaiki kereta api lebih menjimatkan berbanding memandu. Namun, kepentingan ECRL tidak seharusnya dilihat dari sudut perjalanan penumpang semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan potensinya mengubah landskap ekonomi, sosial dan logistik negara dalam jangka panjang.
Bagi penumpang, manfaatnya dapat dirasai melalui penjimatan masa. Perjalanan dari Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan melalui jalan raya boleh mengambil masa tujuh hingga lapan jam ketika trafik lancar, namun perkhidmatan ekspres ECRL pula dijangka memendekkan tempoh itu kepada kira-kira empat jam.
Penjimatan masa ini lebih bermakna ketika musim perayaan apabila lebuh raya utama sering mengalami kesesakan. Selain itu, perjalanan menggunakan kereta api membolehkan penumpang berehat, membaca atau bekerja tanpa perlu memberikan tumpuan berterusan seperti ketika memandu.
Namun, kereta api bukan semestinya pilihan paling murah bagi semua orang. Bagi keluarga besar, misalnya, penggunaan kenderaan sendiri mungkin lebih menjimatkan berbanding membeli tiket untuk setiap ahli.
ECRL bukan bertujuan menggantikan kereta persendirian tetapi menyediakan pilihan tambahan yang memberi kebebasan kepada rakyat menentukan kaedah perjalanan mengikut keperluan masing-masing.
TAMBANG DAN KEMAMPUAN PENGGUNA
Tambang kelas ekonomi bagi perjalanan Gombak-Kota Bharu bermula daripada RM125 untuk perkhidmatan transit dan RM147 bagi perkhidmatan ekspres. Sementara itu, perjalanan Gombak-Kuantan ditawarkan bermula daripada RM60.
Kadar tersebut merupakan tambang permulaan menerusi mekanisme penetapan harga dinamik yang diluluskan kerajaan. Kaedah ini membolehkan tambang disesuaikan mengikut permintaan dan kapasiti, selain menggalakkan tempahan lebih awal serta penggunaan perkhidmatan secara lebih teratur.
Diskaun konsesi turut disediakan kepada kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang layak.
Penumpang kelas ekonomi warganegara Malaysia juga menikmati diskaun pengenalan khas sebanyak 30 peratus sepanjang bulan pertama operasi.
Walaupun insentif ini membantu mengurangkan kos perjalanan, namun keyakinan pengguna dalam jangka panjang turut bergantung pada ketelusan penetapan tambang. Maklumat harga perlu mudah difahami dan membolehkan orang ramai merancang perjalanan mengikut kemampuan.
KESALINGHUBUNGAN MENENTUKAN MANFAAT
Keberkesanan sesebuah perjalanan tidak bermula ketika penumpang menaiki tren atau berakhir sebaik tiba di stesen. Perjalanan sebenar bermula dari rumah dan hanya selesai apabila seseorang sampai ke destinasi akhir.
Tempoh perjalanan yang singkat boleh kehilangan kelebihannya jika penumpang terpaksa menunggu lama atau menghadapi kesukaran mendapatkan pengangkutan sambungan. Oleh itu, kemudahan menuju ke stesen dan meneruskan perjalanan selepas turun perlu diberikan perhatian.
ECRL perlu disepadukan dengan perkhidmatan pengangkutan awam lain seperti bas, teksi dan kenderaan e-panggilan. Keperluan setiap stesen juga mungkin berbeza mengikut kepadatan penduduk serta permintaan setempat.
Ada kawasan memerlukan bas perantara berjadual, manakala lokasi lain mungkin lebih sesuai dengan perkhidmatan pengangkutan mengikut permintaan.
Kerjasama pengendali kereta api, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) penting bagi memastikan penumpang dapat menggunakan rangkaian ini dengan mudah serta pada kos yang berpatutan.
MENGGERAKKAN EKONOMI DAN LOGISTIK
Walaupun perkhidmatan penumpang lebih dekat dengan perhatian masyarakat, namun peranan ekonomi ECRL turut bergantung pada keupayaannya mengangkut barangan. Sistem ini dibangunkan dengan penekanan terhadap pengangkutan kargo, di samping menyediakan perkhidmatan penumpang antara bandar.
Hubungan antara Pantai Timur, Lembah Klang dan Pelabuhan Klang menyediakan laluan logistik alternatif bagi menghubungkan pusat pengeluaran, kawasan perindustrian serta pasaran antarabangsa.
Potensi ini merangkumi industri pembuatan, petrokimia, mineral, hasil pertanian dan pengangkutan berkontena. Hubungan antara Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang juga membuka peluang membentuk jambatan darat yang menghubungkan dua pintu masuk maritim utama di timur dan barat Semenanjung.
Sebuah tren kargo berupaya membawa sejumlah besar barangan. Sebagai gambaran, tren yang mengangkut 90 TEU membawa muatan bersamaan 90 kontena berukuran 20 kaki. Keupayaan ini berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan berat di lebuh raya, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dan beban penyelenggaraan jalan.
Bagi pengilang serta penyedia perkhidmatan logistik, kebolehpercayaan jadual, kecekapan pengendalian kargo dan operasi terminal sama penting dengan kos pengangkutan.
Perkhidmatan yang konsisten dapat memenuhi keperluan perniagaan serta menyokong permintaan kargo secara berterusan.
PEMANGKIN PEMBANGUNAN WILAYAH
Sumbangan ECRL yang lebih luas ialah potensinya menyokong pembangunan ekonomi yang lebih seimbang.
Kesalinghubungan lebih baik boleh meningkatkan daya tarikan kawasan perindustrian di Pantai Timur kepada pelabur, selain membuka ruang kepada kegiatan pembuatan dan logistik baharu.
Sektor pelancongan serta perniagaan tempatan juga berpotensi mendapat manfaat daripada kemudahan perjalanan yang lebih baik. Penduduk pula mempunyai pilihan mobiliti tambahan untuk urusan pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan hubungan kekeluargaan.
Peluang ini memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri, agensi pelaburan, komuniti perniagaan dan masyarakat setempat.
Pelaburan industri, pembangunan hab logistik serta pertumbuhan keusahawanan tempatan di sepanjang laluan perlu bergerak seiring dengan pembinaan infrastruktur tersebut.
Dengan itu, kejayaan ECRL tidak wajar diukur melalui jumlah tiket penumpang atau hasil operasi semata-mata. Nilainya turut terserlah melalui pelaburan baharu, peluang pekerjaan, kecekapan logistik dan perkembangan ekonomi kawasan yang dihubungkan.
Ketika Malaysia bersiap sedia memulakan operasi ECRL, perhatian terhadap tambang, kemudahan akses dan mutu perkhidmatan sememangnya penting. Namun, matlamat lebih besar projek ini ialah merapatkan hubungan antara wilayah, menghubungkan perniagaan dengan pasaran serta memperkukuh daya saing logistik negara.
Perjalanan pertama ECRL bakal menjadi satu pencapaian penting tetapi sumbangan sebenarnya akan ditentukan oleh peluang yang diwujudkan dan manfaat yang dinikmati masyarakat.
ECRL bukan sekadar menghubungkan stesen, sebaliknya berpotensi membuka laluan baharu kepada pembangunan ekonomi Malaysia. –UTUSAN
DATUK Seri Darwis Abdul Razak ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).











