PMKS Zon Timur perlu rebut peluang ekonomi ECRL - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

PMKS Zon Timur perlu rebut peluang ekonomi ECRL – Wan Rosdy

WAN ROSDY Wan Ismail (dua dari kiri), menyampaikan hadiah motosikal kepada kanak-kanak yang memenangi cabutan bertuah, pada majlis Aspirasi Pahang First Daerah Kuantan di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Pantai Timur perlu bersedia merebut peluang ekonomi yang bakal muncul dengan pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ECRL bukan sekadar projek pengangkutan, malah menjadi pemangkin ekonomi yang akan merancakkan sektor pelancongan, logistik, perdagangan dan perkhidmatan di Pantai Timur.

Menurutnya, limpahan ekonomi daripada projek mega itu akan membuka ruang luas kepada usahawan tempatan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, penginapan, pengangkutan, pembekalan barangan dan perkhidmatan sokongan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“ECRL akan memendekkan masa perjalanan dan memudahkan orang ramai datang ke Pantai Timur. Apabila mereka datang, Pahang kena menawarkan sesuatu. Kalau mereka datang tetapi tidak dapat melihat apa-apa, tidak ada maknanya.

“Saya harap usahawan bumiputera buat persediaan dari sekarang, tingkatkan mutu perkhidmatan dan pastikan produk mampu memenuhi permintaan pasaran. Kita mahu PMKS tempatan bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi menjadi penerima manfaat dan penggerak pertumbuhan ekonomi Zon Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Turun Padang Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan Bersama Usahawan Bumiputera Zon Timur sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Daerah Kuantan di Kompleks Belia dan Sukan di sini hari ini.

Wan Rosdy yang juga Penasihat Khas PMKS Kebangsaan berkata, Pahang mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik pengunjung menerusi keindahan pulau, kepelbagaian makanan tradisional dan destinasi ekopelancongan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan usahawan berkaitan perlu sentiasa peka dengan perubahan pasaran dengan menjaga kualiti produk, menambah baik perkhidmatan dan berani meneroka peluang baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini