Lee Junho ‘jatuh cinta’ dengan keenakan Roti Tisu, Nasi Lemak - Utusan Malaysia

Lee Junho ‘jatuh cinta’ dengan keenakan Roti Tisu, Nasi Lemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon dan penyanyi Korea Selatan, Lee Junho, 36,mengakui teruja menikmati kepelbagaian makanan tempatan sepanjang berada di Malaysia, termasuk nasi lemak dan roti tisu yang disifatkannya sebagai pengalaman menarik.

Junho berkata, kedua-dua hidangan itu antara perkara yang ingin dibawanya pulang ke Korea Selatan sekiranya diberi peluang memilih sesuatu yang istimewa dari Malaysia.

Berkongsi pengalamannya ketika ditanya mengenai makanan yang paling ingin dibawa pulang, anggota kumpulan 2PM itu berkata, dia menikmati kedua-dua hidangan berkenaan ketika berada di Malaysia dan tertarik dengan cara roti tisu dinikmati.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semalam, saya berpeluang mencuba nasi lemak dan roti tisu. Kedua-duanya sangat sedap. Saya tidak tahu mengapa roti tisu dipanggil sedemikian, tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah saiznya yang sangat besar dan bentuknya yang menjulang tinggi.

“Saya seronok mengoyakkan roti itu sedikit demi sedikit bermula dari bahagian atas untuk menikmatinya. Pengalaman itu agak menarik kerana saya dapat mencubanya bersama pelbagai jenis sos dan perasa,” katanya.

Junho berkata demikian ketika ditemui di Sesi Meet and Greet Lee Junho Cuckootopia di Pavilion, Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas lanjut, pelakon drama Memory dan Confession berkata, dia turut mencuba roti tisu bersama beberapa pilihan perasa, termasuk kari, coklat dan pistachio, selain kaymak iaitu produk tenusu berkrim.

Katanya, dia sememangnya menggemari pistachio, justeru tidak melepaskan peluang mencuba gabungan perisa berkenaan ketika menikmati roti tisu.

“Saya suka pistachio, jadi saya mencuba roti itu dengan pistachio. Saya juga mencubanya dengan kaymak (susu)  dan semuanya sangat sedap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Junho turut berkongsi pengalaman menyertai program realiti Kian’s Bizarre B&B musim kedua yang disifatkannya sebagai satu cabaran baharu dalam perjalanan kerjayanya.

Menurutnya, penyertaannya dalam program itu didorong keinginan untuk mencuba sesuatu yang berbeza, selain mencari pengalaman baharu yang mampu memberikan inspirasi dan ketenangan.

“Sebenarnya, menyertai Kian’s Bizarre B&B musim kedua merupakan satu cabaran baharu buat saya. Saya menyertai program itu kerana memerlukan pengalaman, rangsangan dan ketenangan yang berbeza.

“Saya amat berterima kasih kerana program itu menerima sambutan dan kasih sayang daripada ramai penonton, di luar jangkaan saya. Penggambaran program ini juga memberikan pengalaman yang sangat berbeza kerana kamera dipasang dan beroperasi selama 24 jam sehari sepanjang kira-kira sembilan hari.

“Pengalaman itu sangat menarik, lebih-lebih lagi apabila kami berpeluang menyambut tetamu daripada pelbagai bidang pekerjaan dan latar belakang. Saya gembira kerana dapat berkongsi pengalaman dengan mereka,” katanya.

Mengulas kemungkinan menyertai lebih banyak program realiti pada masa hadapan, Junho berkata, dia belum mengetahui peluang yang bakal hadir, namun tidak menolak kemungkinan untuk kembali muncul menerusi program berkonsepkan sedemikian.

Katanya, sekiranya diberikan peluang yang sesuai, dia berharap dapat memperlihatkan sisi dirinya yang berbeza kepada peminat.

“Saya sendiri tidak tahu apakah peluang yang akan muncul untuk saya menyertai program televisyen pada masa hadapan. Namun, jika ada peluang yang baik, saya berharap dapat kembali menemui peminat menerusi program baharu dan memperlihatkan sisi diri saya yang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini