Degupan jantung boleh berdebar laju apabila teruja seperti ketika menonton Formula 1 (F1) baru-baru ini. Namun, bagaimana jika sebenarnya terdapat masalah pada jantung yang tidak dapat dilihat, walaupun degupan jantung anda kelihatan normal?
Palpitasi jantung atau jantung berdebar berlaku apabila merasakan jantung berdegup lebih laju atau lebih kuat daripada biasa. Ia boleh berlaku atas pelbagai sebab dan tidak semestinya bermakna anda menghidap penyakit jantung.
Pada masa sama, degupan jantung yang normal tidak semestinya bermakna semuanya sihat. Sebagai contoh, Penyakit Arteri Koronari (Coronary Artery Disease, CAD) boleh berlaku secara perlahan-lahan dan tanpa disedari apabila plak mula terkumpul di dalam salur darah yang membekalkan darah ke jantung.
Pakar Perunding Kardiologi Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr. Mohamed Nazrul Mohamed Nazeeb berkata, masalah jantung boleh berlaku secara senyap.

“Palpitasi jantung boleh berlaku sebagai tindak balas terhadap senaman, tekanan, keterujaan dan faktor-faktor lain. Bagaimanapun, jika palpitasi yang berterusan atau luar biasa berlaku, anda perlu mendapatkan nasihat doktor.
“Anda perlu mendapatkan nasihat terutamanya rasa berdebar berterusan ini disertai dengan ketidakselesaan pada dada, sesak nafas, merasa pening atau pengsan,” katanya baru-baru ini sempena Hari Jantung Sedunia.
Katanya, apa yang lebih penting lagi, ketiadaan simptom tidak semestinya bermakna jantung dan salur darah jantung berada dalam keadaan sihat. CAD berlaku apabila plak terkumpul secara beransur-ansur di dalam arteri koronari.
Plak ini terdiri terutamanya daripada kolesterol, kalsium, sel-sel radang dan bahan-bahan lain dalam aliran darah.
Apabila plak semakin terkumpul, arteri boleh menjadi sempit, sekali gus mengehadkan aliran darah dan oksigen ke otot jantung.
“Penyakit arteri koronari atau CAD boleh berkembang tanpa tanda atau simptom yang jelas. Oleh sebab itu, ia mungkin tidak dikesan sehingga berlaku komplikasi yang lebih serius.
“Justeru, memahami faktor risiko anda dan mendapatkan penilaian perubatan yang sewajarnya apabila diperlukan adalah penting bagi mengesan penyakit CAD,”katanya.
Faktor risiko
Mereka yang berisiko tinggi mengalami CAD adalah yang mempunyai kolesterol tinggi, menghidap kencing manis (Diabetes), tekanan darah tinggi, merokok dan mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti serta mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kardiovaskular pramatang.
Skala masalah ini di Malaysia menunjukkan betapa pentingnya kesedaran mengenainya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun 2024, dengan 17,421 kematian, atau 13.0 peratus daripada keseluruhan kematian yang disahkan secara perubatan.
Mereka yang berisiko sebaiknya menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Kesesuaian setiap ujian bergantung kepada simptom, profil risiko, usia dan keadaan klinikal keseluruhan seseorang.
“Oleh itu, pendekatan yang diperibadikan adalah penting bagi memastikan diagnosis yang tepat dan rawatan yang bersesuaian.Ujian diagnostik yang digunakan untuk mengesan penyakit CAD secara amnya boleh dikategorikan kepada ujian tidak invasif dan invasif.
“Ujian Tidak Invasif adalah penilaian skor kalsium arteri koronari
“Angiografi CT koronari (CCTA), ujian tekanan senaman, pengimejan perfusi miokardium, pengimejan resonans magnetik (MRI) jantung. Ujian Invasif pula termasuk angiografi koronari atau angioplasti,” katanya.
Tidak semestinya perlukan stent
Penemuan arteri koronari yang sempit atau tersumbat tidak semestinya bermakna stent diperlukan. Matlamat utama rawatan untuk penyakit arteri koronari adalah mudah iaitu memulihkan aliran darah yang mencukupi ke otot jantung.
Pendekatan rawatan bergantung kepada lokasi dan tahap keterukan sumbatan, saiz dan keadaan arteri yang terjejas, ciri-ciri plak, bilangan sumbatan, fungsi jantung serta keadaan kesihatan keseluruhan pesakit.
Bergantung kepada kerumitan penyakit, rawatan mungkin merangkumi ubat-ubatan dan pengurusan gaya hidup, pembedahan cantuman pintasan arteri koronari (coronary artery bypass grafting, CABG) atau intervensi koronari perkutaneus (percutaneous coronary intervention, PCI), yang biasanya dikenali sebagai angioplasti koronari.
“Salah satu teknologi yang digunakan dalam intervensi koronari terpilih adalah Belon Bersalut Ubat (Drug-Coated Balloon, DCB). Tidak seperti stent konvensional yang kekal di dalam arteri untuk memberikan sokongan struktur, DCB adalah belon khusus yang disalut dengan ubat.
“Ketika angioplasti, belon diletakkan pada bahagian arteri yang menyempit dan dikembangkan untuk tempoh singkat, sekali gus membolehkan ubat disalurkan terus ke dinding salur darah. Belon ini kemudiannya dikeluarkan, tanpa meninggalkan sebarang implan kekal,” terangnya.
Katanya lagi, ubat membantu mengurangkan risiko arteri yang dirawat menjadi sempit semula dan dalam keadaan tertentu, membantu salur darah menyesuaikan diri dan pulih dengan lebih baik.
Bagaimanapun, DCB tidak sesuai untuk setiap pesakit atau setiap jenis penyempitan arteri koronari. Keputusan penggunaannya bergantung kepada faktor seperti lokasi dan ciri-ciri sumbatan, saiz salur darah yang terjejas serta keadaan keseluruhan pesakit.
PASTIKAN JANTUNG KEKAL DALAM PERLUMBAAN
Walaupun bidang perubatan kardiovaskular sudah mengalami banyak kemajuan, pencegahan masih menjadi langkah yang paling berkesan.
“Mengekalkan gaya hidup sihat, mengawal tekanan darah, kolesterol dan paras gula dalam darah, bersenam secara berkala, mengelakkan merokok serta menjalani penilaian perubatan yang bersesuaian boleh membantu mengurangkan risiko kardiovaskular,” katanya.
Pada Hari Jantung Sedunia ini, memahami risiko penyakit kardiovaskular yang anda hadapi adalah langkah penting untuk menjaga kesihatan jantung. Sama seperti kelajuan sahaja tidak menggambarkan keseluruhan keadaan di litar F1, degupan jantung yang normal juga tidak semestinya menunjukkan apa yang sedang berlaku di sebalik tabir.-UTUSAN










