KUALA LUMPUR: Russia mempunyai pasaran pelancongan keluar negara yang besar, dengan lebih 31 juta perjalanan direkodkan setiap tahun. Namun, Malaysia hanya menerima kira-kira 140,000 pelancong dari negara itu pada tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Malaysia perlu memperkukuh hubungan penerbangan dan mempergiat usaha promosi bagi memanfaatkan potensi besar pasaran Russia.
Menurutnya, usaha itu juga perlu memberi tumpuan pada memperkenalkan lebih banyak destinasi dan produk pelancongan Malaysia kepada penggiat industri serta pelancong Russia, selain Kuala Lumpur dan destinasi pulau yang sudah dikenali ramai.
Beliau berkata demikian selepas menamatkan Misi Galakan Pelancongan ke Russia 2026 yang berlangsung di St. Petersburg dan Moscow.
“Pasaran Russia mencatatkan pertumbuhan berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, berbanding dengan saiz keseluruhan pasaran pelancongan keluar Russia, bahagian pasaran yang berjaya diraih Malaysia masih kecil.
“Ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang yang luas untuk kita mengembangkan pasaran berkenaan,” katanya.
Tiong berkata, isu ketersambungan penerbangan merupakan antara perkara utama yang dibangkitkan oleh hampir semua penggiat industri pelancongan yang ditemuinya di St. Petersburg.
Ketika ini, tiada penerbangan terus antara Malaysia dengan Russia, menyebabkan pelancong dari Russia perlu transit di negara ketiga sebelum tiba di Malaysia.
Keadaan itu bukan sahaja memanjangkan tempoh perjalanan, malah kos tiket penerbangan dan keperluan transit beberapa kali turut mempengaruhi keputusan pelancong dalam memilih destinasi.
Sehubungan itu, beliau mengambil peluang mengadakan pertemuan terus dengan syarikat penerbangan Aeroflot dan Red Wings sebaik tiba di Moscow bagi mencari jalan penyelesaian.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kewujudan penerbangan terus.
“Sekiranya laluan terus masih belum dapat diwujudkan atas faktor komersial atau operasi, pada masa yang sama kita perlu mencari pendekatan alternatif,” katanya.
Antara pilihan yang akan diteroka termasuk penerbangan dengan satu persinggahan melalui Timur Tengah, China atau Vietnam.
Kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti Emirates, Hainan Airlines, Vietnam Airlines dan Vietjet Air juga akan diteliti.
Tourism Malaysia turut akan dilibatkan dalam usaha promosi bersama bagi menyokong peningkatan ketersambungan penerbangan, selain penawaran harga tiket yang lebih kompetitif.
Selain isu penerbangan, Tiong berkata hasil lawatan itu turut menunjukkan bahawa pengetahuan sebahagian penggiat industri pelancongan dan pengguna Russia mengenai produk pelancongan Malaysia masih terhad.
Katanya, promosi Malaysia tidak seharusnya tertumpu kepada Kuala Lumpur dan beberapa destinasi pulau semata-mata.
Sebaliknya, keunikan produk pelancongan di setiap negeri perlu diketengahkan dengan lebih agresif bagi menarik pelbagai segmen pelancong.
Ini termasuk pelancongan gastronomi, kebudayaan, alam semula jadi, selam skuba, kesihatan dan kesejahteraan, beli-belah serta pengalaman ekopelancongan di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN











