Baik pulih badan dan cat pemacu baharu hasil selepas jualan EON

Baik pulih badan dan cat pemacu baharu hasil selepas jualan EON

KETUA Pegawai Operasi Kumpulan DRB Hicom, Datuk Jezilee Mohamad Ramli (dua dari kiri), dan Ketua Pegawai Eksekutif EON Bhd, Akkbar Danial (paling kiri), melawat ruang kerja pada Majlis Pelancaran Pusat Baik Pulih Badan dan Cat EON, di Kawasan Perindustrian Temasya. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) menjadikan perniagaan baik pulih badan dan cat sebagai antara pemacu pertumbuhan perniagaan selepas jualannya menerusi pembukaan hab pertamanya di Glenmarie mampu mengendalikan antara 360 hingga 400 kenderaan sebulan.

Hab berkeluasan 41,508 kaki persegi itu merupakan antara hab baik pulih badan dan cat terbesar di negara ini, dilengkapi 39 ruang kerja, tiga bilik bancuhan cat dan empat kebuk semburan cat.

Kemudahan itu menyokong operasi automotif pelbagai jenama EON dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik (EV) smart, manakala Proton e.MAS dan Zeekr dijangka menyertai portfolio berkenaan tidak lama lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, pembukaan hab berkenaan membolehkan syarikat memperluas perkhidmatan selepas jualan dengan terus menyokong pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

“Di EON, hubungan kami dengan pelanggan tidak berakhir apabila kenderaan baharu dibawa keluar dari bilik pameran.

“Kami percaya setiap titik interaksi sepanjang perjalanan pemilikan merupakan peluang untuk kami memberikan nilai, membina kepercayaan dan mewujudkan pengalaman yang bermakna.

“Hab baik pulih badan dan cat baharu ini membolehkan kami merealisasikan perkara tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, hab itu dilengkapi teknologi pembaikan moden dan tenaga kerja profesional terlatih bagi menyediakan perkhidmatan pembaikan akibat kemalangan, pemulihan badan kenderaan serta kemasan semula cat.

“Hab berkenaan turut menerima tuntutan pembaikan akibat kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia, sekali gus memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan pembaikan dan pemulihan kenderaan.

“Perniagaan ini juga menjadi sebahagian daripada strategi transformasi jangka panjang EON untuk mengembangkan hasil selepas jualan, memperkukuh pengekalan pelanggan serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelbagai jenamanya,” katanya.

Akkbar Danial berkata, antara kelebihan hab berkenaan ialah ketelusan dalam proses pembaikan, prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, tenaga kerja terlatih dan kawalan kualiti.

“Peralatan yang digunakan juga perlu memenuhi keperluan serta mendapat kelulusan pengeluar kenderaan bagi memastikan setiap kerja pembaikan dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Bagi pelanggan, perbandingannya bukan hanya dari segi harga tetapi turut melibatkan kualiti kerja, peralatan yang digunakan dan perkhidmatan yang diberikan.

“Harga pembaikan pula bergantung kepada jenis kenderaan dan tahap kerosakan,” jelasnya.

Hab berkenaan turut dilengkapi keupayaan membaik pulih EV termasuk stesen pengecas arus ulang-alik (AC), kawasan kuarantin EV dan bilik penyimpanan bateri voltan tinggi (HV) yang dibangunkan bagi mematuhi keperluan keselamatan berkaitan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Infrastrukturnya juga tersedia bagi menyokong pemasangan pengecas pantas arus terus (DC) sehingga 180 kilowatt (kW), sekali gus meningkatkan keupayaan EON memenuhi perkembangan mobiliti elektrik pada masa hadapan.

Selain itu, hab tersebut mempunyai kemudahan khusus bagi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), dengan tenaga kerjanya menerima latihan daripada pengeluar kenderaan bagi memastikan kerja pembaikan memenuhi keperluan teknikal ditetapkan.

Bagi menyokong operasi, hab itu mempunyai 17 kakitangan yang menguruskan operasi baik pulih badan dan cat, manakala jumlah tenaga kerja bagi operasi awal adalah seramai 25 orang.

EON turut menggunakan sistem pengurusan tenaga kerja secara digital bagi memantau penggunaan ruang kerja, masa dan tugasan juruteknik untuk meningkatkan kecekapan operasi tanpa menjejaskan kualiti pembaikan apabila jumlah kenderaan bertambah.

Dalam pada itu, beliau berkata, EON sedang meneroka peluang memperluas rangkaian hab baik pulih badan dan cat ke lokasi strategik lain yang mempunyai kehadiran kukuh operasi pelbagai jenama syarikat.

“Langkah itu membolehkan EON memanfaatkan rangkaian sedia ada, selain meningkatkan akses kepada perkhidmatan selepas jualan bagi pelanggan merentasi portfolio automotifnya.

“Pengembangan rangkaian berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha EON memperkukuh ekosistem selepas jualannya dengan menyediakan penyelesaian penjagaan kenderaan merentasi jenama di bawah operasinya.

“Bagaimanapun, kami akan menilai prestasi hab pertama ini dahulu sebelum mempertimbangkan peluasan operasi ke kawasan lain termasuk wilayah utara, tengah, selatan dan pantai timur, bergantung kepada permintaan serta jumlah kenderaan yang diterima,” katanya.

Pengembangan perniagaan baik pulih badan dan cat itu dijangka memperkukuh ekosistem selepas jualan EON menerusi kepelbagaian sumber pendapatan dan pengekalan pelanggan, sejajar aspirasinya untuk berkembang sebagai peruncit automotif komprehensif serta penyedia penyelesaian mobiliti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini