SHAH ALAM: Edaran Otomobil Nasional (EON) menyasarkan sebanyak 1,300 tempahan kenderaan tahun ini menerusi pelbagai jenama automotif di bawah edarannya.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, sasaran itu dilihat realistik susulan kejayaan siri terdahulu EON & Sahabat Autofest yang merekodkan 1,100 tempahan dalam tempoh tiga hari.
Menurut beliau, setakat ini festival berkenaan telah menerima 240 tempahan, dengan majoriti pelanggan memilih Proton e.MAS 7 serta motosikal Modenas Ninja 250 ABS.
“Festival ini bukan sahaja berlangsung di Glenmarie, malah turut diadakan serentak di semua cawangan EON di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bermula hari ini hingga Ahad.
“Kami menawarkan pelbagai promosi eksklusif serta cabutan bertuah kepada pelanggan yang membuat tempahan sepanjang festival ini. Mereka berpeluang memenangi hadiah menarik seperti Proton e.MAS 7 dan motosikal Modenas 250cc,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian festival itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Akkbar berkata, jualan kenderaan elektrik (EV) pada suku kedua tahun ini menunjukkan perkembangan positif meskipun ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS) masih berlarutan.
Menurutnya, sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini turut membantu merangsang permintaan pasaran automotif pada suku pertama tahun ini.
“Namun bagi suku kedua, industri memerlukan lebih banyak inisiatif dan program seperti EON & Sahabat Autofest bagi terus menggalakkan permintaan serta merancakkan sektor automotif tempatan,” katanya. – UTUSAN










