MENGAPA kita berbangga apabila anak menjadi jurutera yang mencipta mesin tetapi kurang menghargai anak yang bertugas memastikan peralatan itu terus berfungsi sebagai juruteknik? Pertanyaan ini bermain dalam fikiran saya ketika menghadiri Ekspo TVET@KKDW 2026 di Stadium Sungai Besar, Selangor, pada 25 Oktober, lalu.
Sebagai anak kelahiran Sungai Besar, saya melihat penganjuran ekspo ini lebih daripada acara memperkenalkan kursus kemahiran. Di daerah yang sekian lama dikenali melalui sawah padi, perikanan dan kehidupan desa, perbincangan tentang automasi, kecerdasan buatan (AI) serta kerjaya berpendapatan tinggi membawa makna besar kepada generasi muda.
Namun, sebelum bercakap tentang mesin pintar, kita perlu membetulkan satu kerosakan lama dalam pemikiran masyarakat iaitu apabila mereka masih terperuk dalam pemikiran pendidikan akademik sering dianggap laluan utama menuju kejayaan, sedangkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai tempat persinggahan bagi mereka yang tidak menyerlah dalam peperiksaan.
Tanggapan ini tidak adil.
AI tidak hadir dalam satu bentuk. Ada anak yang cemerlang membaca teori, ada yang cekap membina sesuatu dan ada yang mampu menyelesaikan kerosakan rumit melalui pemerhatian serta latihan.
Mengapa kita memberikan martabat berbeza kepada kebolehan yang saling melengkapi?
Inilah sebabnya saya tertarik dengan mesej Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapan perasmian ekspo. Beliau menekankan institusi latihan dan industri mesti merancang bersama, supaya kemahiran pelatih benar-benar sepadan dengan keperluan pekerjaan, bukan sekadar memenuhi bilik kuliah.
Dalam ucapan tersebut, beliau menggariskan tiga inisiatif; Perjanjian Kerjaya Premium TVET Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), TVET Jana Desa serta Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW. Ketiga-tiganya boleh dilihat sebagai satu rantaian yang saling melengkap dengan latihan yang relevan, pekerjaan bergaji tinggi dan perusahaan tempatan menggunakan teknologi.
Contohnya, kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui Malaysia-China Institute dengan Samsung SDI Energy Malaysia membuka laluan kepada 200 graduan TVET memasuki industri bateri kenderaan elektrik dengan pakej gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.
Angka ini menunjukkan sesuatu yang penting iaitu pasaran sanggup menghargai kemahiran apabila latihan berhubung terus dengan keperluan industri.
Sasaran itu tidak terpisah daripada arah ekonomi negara. Dalam nota ucapan sama, pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2026 berjumlah RM218.5 bilion dan berpotensi menghasilkan 99,030 pekerjaan apabila dilaksanakan sepenuhnya, dengan 65.2 peratus dalam sektor berkaitan kemahiran.
Peluang ini hanya bermakna jika anak tempatan dilatih untuk merebutnya.
SELANGOR UTARA SEBAGAI KORIDOR TVET
Bagi saya, Sungai Besar juga membuka ruang memikirkan peranan lebih besar koridor Selangor Utara. Kita tidak patut melihat Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor sebagai daerah yang bergerak sendirian. Ketiga-tiganya mempunyai kekuatan berbeza yang berpotensi disatukan melalui agenda pembangunan bakat teknikal.
Sabak Bernam memiliki asas pertanian dan perikanan yang luas. Kuala Selangor mempunyai kegiatan perkhidmatan, pelancongan serta industri berasaskan pertanian. Hulu Selangor pula berkembang dengan potensi pembuatan dan automotif. Gabungan ini menyediakan makmal kehidupan sebenar untuk melatih tenaga mahir, daripada ladang hingga kilang.
Kerangka pembangunan negeri turut menyediakan asas. Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), memberi perhatian kepada pertanian, ekonomi hiliran dan infrastruktur.
Sementara itu, perbincangan Rancangan Selangor Kedua menonjolkan potensi pembangunan koridor utara, terutama Hulu Selangor dan Kuala Selangor. Kesalinghubungan melalui Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dijangka membuka peluang baharu apabila jajarannya siap.
Tetapi jalan raya sahaja tidak membina ekonomi. Lebuh raya boleh mempercepat perjalanan barang, namun kemahiran manusialah yang meningkatkan nilai barang tersebut. Tanpa pekerja terlatih dan perusahaan tempatan, pelaburan besar berisiko hanya melintasi daerah kita tanpa meninggalkan manfaat yang sepatutnya.
Sebab itu saya mencadangkan agar koridor Selangor Utara dibangunkan sebagai ekosistem TVET berasaskan kekuatan setempat. Di Sabak Bernam, latihan boleh tertumpu kepada mekanisasi sawah, dron pertanian, penyelenggaraan pam, akuakultur dan rantaian sejuk. Teknologi mesti menyelesaikan masalah sebenar petani dan nelayan.
Di Kuala Selangor, latihan boleh menghubungkan pemprosesan makanan, logistik, penyelenggaraan dan pelancongan berkualiti. Di Hulu Selangor, tumpuan boleh diperluas kepada automasi kilang, robotik, komponen automotif dan kecekapan tenaga. Ini bukan cadangan membina tembok antara daerah, tetapi membentuk rangkaian kepakaran yang saling menyokong.
Bayangkan pelajar Sungai Besar belajar mengendalikan sistem sensor tanaman, menjalani latihan industri di Hulu Selangor, kemudian kembali membangunkan perusahaan perkhidmatan teknikal untuk pesawah kampungnya. Dia tidak perlu memilih antara kemajuan teknologi dengan kesetiaan kepada tempat asal. Kedua-duanya boleh berjalan bersama.
KEMAHIRAN MESTI MEMBAWA KEMAKMURAN
Untuk menjayakannya, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, institusi TVET dan majikan perlu duduk semeja. Kursus hendaklah dirancang berdasarkan permintaan sebenar, peralatan latihan dikemas kini dan tempat latihan industri disediakan sebelum pengambilan pelajar. Majikan pula wajar menyatakan julat gaji serta laluan kenaikan kerjaya dengan jelas.
Kerjasama antara dua peringkat kerajaan perlu diterjemahkan melalui pelan bersama, bukan sekadar majlis menandatangani memorandum. Setiap daerah boleh mempunyai peta keperluan kemahiran, senarai majikan rakan latihan dan sasaran penempatan graduan. Kemajuannya mesti dilaporkan secara terbuka supaya masyarakat dapat menilai sama ada peluang benar-benar sampai kepada anak desa.
Kita juga tidak boleh melupakan usahawan kecil. Bengkel pintar bukan sekadar tempat mempamerkan mesin baharu. Ia patut menjadi pusat menyelesaikan masalah pengusaha desa iaitu mengurangkan kos elektrik, membaiki jentera, memantau suhu stor dan mengautomasikan kerja berulang. Di sinilah TVET menyumbang secara langsung kepada produktiviti rakyat.
Namun, membina ekosistem tanpa mengubah persepsi ibu bapa tetap belum mencukupi. Jangan lagi kita meremehkan anak dengan ungkapan, “Kalau gagal belajar, masuklah bidang kemahiran.” Kata-kata begini merendahkan pekerjaan yang menjadi tulang belakang industri. Anak yang mahir membaiki mesin bukan manusia kelas kedua.
Ukuran kejayaan TVET juga mesti berubah. Bukan sekadar berapa ramai mendaftar atau menerima sijil tetapi berapa ramai memperoleh pekerjaan yang sepadan, menikmati pendapatan wajar, meningkatkan kepakaran dan berani membuka perusahaan.
Data keberhasilan sebegini lebih meyakinkan keluarga daripada slogan yang diulang pada setiap ekspo.
Selangor Utara berpeluang membuktikan bahawa pembangunan wilayah bukan hanya soal membuka tanah industri atau membina jalan. Pembangunan sebenar berlaku apabila anak tempatan menguasai teknologi, pekerjaan bernilai tinggi tumbuh, dan hasil kemajuan kembali kepada masyarakat. Model seperti ini, jika berjaya, boleh diteladani wilayah desa lain di Malaysia. –UTUSAN
DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Besar.











