PETALING JAYA: Kerajaan mahu melahirkan lebih ramai mekanik motosikal berkemahiran tinggi menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri permotoran tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran asing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu akan diperkukuh menerusi pusat latihan sedia ada termasuk GiatMara Bagan Datuk, selain pembinaan Malaysia China Institute (MCI) di kawasan berkenaan bagi melatih pelajar dalam teknologi motosikal elektrik (EV) dan konvensional dari China.
“Kita mulakan dengan kecil dulu. Selain daripada itu, ada empat lagi tempat yang menyediakan mekanik dalam bidang permotoran ini,” katanya ketika program Sembang Santai MotoGP di Fifty Seven Coffee, pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, perkembangan pasaran permotoran membuka peluang pekerjaan lebih luas kepada golongan muda, khususnya dalam bidang penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang menawarkan gaji premium.
Menurut beliau, sambutan terhadap TVET turut menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah penyertaan melonjak daripada 127,000 orang ketika beliau mula memegang jawatan itu empat tahun lalu kepada 587,000 orang pada 2026.
“Gaji minimumnya ialah RM3,500. Inilah yang harus direbut oleh anak-anak muda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penguasaan kemahiran teknikal turut menjadi kelebihan kepada pelumba motosikal dengan mengambil contoh bekas pelumba negara, Wazi Abdul Hamid yang bukan sahaja mahir menunggang, malah mampu membaiki jentera sendiri.
Katanya, Malaysia mempunyai potensi melahirkan mekanik tempatan yang mampu memberikan khidmat kepada pelumba negara dalam kejohanan antarabangsa tanpa perlu bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara.
“Kita tak perlu mekanik daripada Itali ataupun daripada Sepanyol, mekanik daripada Malaysia pun boleh membantu pelumba-pelumba kita di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN











