Agrobank perkasa bakat TVET melalui tanaman lestari sorghum - Utusan Malaysia

Agrobank perkasa bakat TVET melalui tanaman lestari sorghum

WAN Shamsul Kamal Wan Jusoh (dua dari kiri) menyampaikan cek cura tajaan projek tanaman lestari Sorghum kepada wakil penerima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank memperluas usaha pembangunan bakat dalam sektor agromakanan menerusi Projek Tanaman Lestari Sorghum, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi pendedahan praktikal kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pertanian lestari, inovasi dan keusahawanan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembangunan sektor agromakanan memerlukan bukan sahaja akses kepada pembiayaan, malah generasi baharu yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan minda keusahawanan.

“Melalui projek ini, kami mahu membuka perspektif generasi muda bahawa pertanian hari ini bukan lagi sekadar aktiviti pengeluaran. Ia mempunyai ruang yang luas untuk inovasi, teknologi dan keusahawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendedahan seperti ini penting untuk membina generasi pelapis yang mampu membawa idea baharu dan mencipta nilai dalam sektor agromakanan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Projek itu dilaksanakan bersama Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) membabitkan enam institusi TVET pertanian terpilih, secara berperingkat dari Oktober ini hingga September 2027.

Seramai 775 pelajar dijangka menerima manfaat, dengan kawasan tanaman keseluruhan seluas enam ekar merangkumi enam kolej pertanian vokasional di seluruh negara.

Menurut Ahmad Badli Shah, projek berkenaan disempurnakan oleh Pengarah BPLTV, Ts. Zulkernai Fauzi, di Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, Pahang, semalam.

“Menerusi projek ini, pelajar mempelajari kaedah penanaman dan pengurusan sorgum secara lestari, selain meneroka potensi tanaman tersebut melalui pembangunan produk makanan dan aktiviti keusahawanan.

“Pendekatan berkenaan turut mendedahkan pelajar kepada rantaian nilai agromakanan, bermula daripada penanaman sehingga pembangunan produk dan potensi pengkomersialan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan sorgum pula memberi peluang kepada pelajar meneroka potensi tanaman alternatif dalam konteks pertanian yang lebih lestari dan berdaya tahan.

Menurutnya, sebagai tanaman yang tahan lasak, sorgum cekap menggunakan sumber dan mampu hidup dalam keadaan gersang, namun kurang bertoleransi terhadap banjir jangka panjang. Potensinya yang luas sebagai makanan alternatif, makanan haiwan dan komoditi komersial menjadikannya tanaman strategik pada masa hadapan.

“Pelajar juga didedahkan kepada potensi sorgum sebagai sumber bijirin alternatif yang boleh diterokai bagi kesiapsiagaan makanan, di samping diajar menghasilkan prototaip produk berasaskan sorgum.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dalam membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteraskan teknologi, termasuk melalui pembangunan modal insan.

“Bagi memastikan impak projek dapat dinilai, Agrobank bersama rakan pelaksana akan menilai pencapaian program berdasarkan perkembangan pelajar dan hasil projek sepanjang tempoh pelaksanaan,” katanya.

Tambahnya, Agrobank berharap dapat memupuk minat dan keupayaan generasi muda untuk melihat sektor agromakanan sebagai bidang yang menawarkan potensi kerjaya, perniagaan dan inovasi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor serta keterjaminan makanan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini