TVET PolyCC bukan pilihan kedua

TVET PolyCC bukan pilihan kedua

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan laluan pendidikan yang mampu membina kerjaya dan masa hadapan melalui penguasaan ilmu serta kemahiran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap pendidikan yang semakin mencabar, tanggapan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pilihan kedua selepas universiti perlu diubah. 

Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) bukan institusi untuk menampung pelajar yang gagal memasuki universiti, sebaliknya menyediakan laluan pendidikan tersendiri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.

Kejayaan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau nama institusi pengajian semata-mata. Dunia pekerjaan kini turut menuntut kemahiran praktikal, kreativiti, disiplin dan kebolehan menyelesaikan masalah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam hal ini, TVET menggabungkan pengetahuan akademik dengan latihan amali bagi menyediakan graduan yang bukan sahaja memahami sesuatu bidang, malah mampu mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar.

Antara persepsi yang perlu diperbetulkan ialah TVET hanya sesuai untuk pelajar yang memperoleh keputusan sederhana atau kurang memuaskan. Hakikatnya, pelajar cemerlang juga mempunyai peluang untuk mengembangkan potensi melalui bidang teknikal dan profesional yang menawarkan prospek kerjaya tersendiri.

Tidak semua pelajar menyerlah melalui pembelajaran berasaskan teori. Ada yang lebih berbakat dalam menghasilkan produk, mengendalikan peralatan, membina sesuatu dan menyelesaikan masalah secara praktikal. Oleh itu, memilih politeknik bukan bermaksud mengecilkan cita-cita tetapi menentukan laluan yang bersesuaian dengan minat serta kebolehan.

Bagi mereka yang kurang cemerlang dalam SPM pula, keputusan peperiksaan bukan penamat perjalanan. PolyCC menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik secara berperingkat, termasuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, tertakluk kepada syarat kemasukan program berkaitan.

Keistimewaan PolyCC terletak pada keseimbangan antara teori dan amali. Selain mengikuti kuliah, pelajar didedahkan kepada latihan di bengkel, makmal, projek serta latihan industri. Pengalaman ini membantu mereka memahami suasana pekerjaan, membina jaringan profesional dan mengenali kehendak majikan.

Pendidikan TVET juga membuka ruang kepada keusahawanan. Pendedahan terhadap inovasi dan kreativiti membolehkan graduan bukan sahaja mencari pekerjaan, malah berpotensi membina perniagaan sendiri.

Di Pantai Timur, Politeknik Hulu Terengganu (PHT) memainkan peranan dalam menyediakan pendidikan dan latihan kemahiran kepada generasi muda. Institusi ini bukan sekadar menawarkan peluang memperoleh diploma tetapi turut memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah.

Melalui aktiviti akademik, kokurikulum, kesukarelawanan dan pertandingan inovasi, pelajar berpeluang mengembangkan keyakinan serta kebolehan bekerja dalam pasukan. Aspirasi PHT Leads the Future pula mencerminkan usaha institusi untuk meningkatkan mutu pendidikan dan bergerak seiring dengan perubahan industri.

Peranan pensyarah turut menjadi faktor penting dalam membimbing pelajar mengikut kemampuan masing-masing. 

Pada masa sama, hubungan dengan industri perlu diperkukuh supaya kurikulum sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan automasi. Graduan bukan sahaja perlu menguasai kemahiran semasa, malah bersedia mempelajari teknologi baharu sepanjang kerjaya.

Ibu bapa juga perlu melihat potensi anak berdasarkan minat dan kebolehan, bukannya terikat pada pengiktirafan sosial. Memasuki politeknik tidak bermakna seseorang gagal mencapai impian. Sebaliknya, laluan ini menawarkan peluang untuk membina kerjaya melalui penguasaan ilmu dan kemahiran.

Sudah tiba masanya TVET diangkat sebagai laluan pendidikan yang mempunyai nilai dan sumbangan besar kepada negara. 

Kepada pelajar calon SPM, jangan biarkan label masyarakat membataskan pilihan. Keputusan peperiksaan mungkin menentukan langkah seterusnya tetapi kesungguhan dan usaha menentukan sejauh mana seseorang mampu melangkah.

PolyCC bukan pilihan kedua. Ia pilihan yang wajar diberi perhatian oleh mereka yang mahu membina masa depan melalui kemahiran, ilmu dan pengalaman. –UTUSAN

 

MOHD KHAIRULAZMAN  ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat,
Politeknik Hulu Terengganu (PHT)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini