Russia bangunkan senjata nuklear baharu di angkasa - Utusan Malaysia

Russia bangunkan senjata nuklear baharu di angkasa

SEBUAH satelit yang menggelilingi Bumi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) Pentagon memberi amaran bahawa Russia kini sedang membangunkan senjata nuklear baharu berasaskan angkasa lepas yang berupaya diledakkan di orbit bumi.

Perkembangan membimbangkan itu didedahkan menerusi laporan terbaharu DIA yang memberi amaran bahawa peranti pemusnah milik Moscow itu mampu memusnahkan ribuan satelit secara serentak dalam satu-satu masa.

Laporan berkenaan turut menegaskan bahawa kerosakan skala besar susulan serangan sedemikian bakal memberi impak global yang amat dahsyat, termasuk berisiko melumpuhkan sistem ekonomi negara-negara Barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendedahan menggerunkan ini muncul sejurus selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, mengeluarkan amaran keras kepada pihak Barat dengan menyatakan kesediaan negaranya untuk berdepan peperangan secara terbuka dengan Eropah.

“Russia sedang membangunkan satelit yang direka khusus untuk membawa senjata nuklear walaupun tertakluk kepada Perjanjian Angkasa Lepas 1967 yang melarang penempatan sebarang senjata pemusnah kitaran di orbit Bumi,” menurut laporan DIA.

Agensi perisikan itu menjelaskan bahawa keupayaan senjata angkasa lepas berkenaan boleh mengakibatkan kemerosotan dan kehilangan fungsi ribuan satelit kendalian pelbagai negara serta syarikat swasta di seluruh dunia secara mendadak.

Kehilangan fungsi satelit berkenaan sekali gus bakal merencatkan sistem perkhidmatan kritikal termasuk komunikasi, navigasi, penyelidikan saintifik, kaji cuaca, komersial dan keselamatan nasional.

Sehingga kini, pihak ketenteraan masih belum dapat memastikan secara terperinci kaedah peluncuran senjata nuklear baharu terbabit sama ada ia akan ditempatkan secara tetap di orbit atau dilancarkan terus dari stesen darat.

Bagaimanapun, letupan nuklear di ruang orbit Bumi dijangka menghasilkan denyutan elektromagnet berskala tinggi yang mampu merosakkan komponen elektronik satelit pada jarak ratusan kilometer dari titik letupan asal.

Laporan DIA tersebut turut menambah bahawa kesan letupan senjata nuklear di angkasa lepas akan meninggalkan implikasi jangka panjang, termasuk pembentukan jalur radiasi berbahaya yang terapung di atas permukaan bumi.

“Selain kesan serta-merta, letupan nuklear di angkasa lepas akan meninggalkan jalur radiasi berpanjangan yang boleh bertahan selama bertahun-tahun, sekali gus merosakkan satelit yang pada awalnya hanya mengalami gangguan sementara,” menurut laporan itu lagi. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini