PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mahu menguji kemampuan di dua kejohanan Kelas 1 dan 2 di Australia dan New Zealand, Disember depan.
Pelumba berusia 38 tahun itu berkata, dia mahu memastikan setiap penyertaan memberikan cabaran berkualiti bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Katanya, kedua-dua kejohanan itu menjadi pilihan kerana menawarkan persaingan sengit selain lokasinya yang lebih hampir dengan tempat latihannya, sekali gus mengurangkan beban perjalanan dalam jadual pertandingan yang padat.
Menurutnya, beliau tidak mahu membuang masa dan tenaga menyertai kejohanan Kelas 1 dan 2 semata-mata untuk mengutip mata sekiranya tahap persaingan tidak cukup mencabar untuk meningkatkan prestasinya.
“Saya tidak mahu pergi kejohanan Kelas 2 semata-mata untuk mendapatkan mata tetapi tiada tahap persaingan. Memang kita boleh dapat mata dengan mudah, tetapi ia tidak bagus untuk prestasi.
“Kalau saya menyertai kejohanan, saya mahu mendapatkan mata dan pada masa sama berdepan persaingan yang berkualiti,” katanya selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Rasmi bersama SLM Bicycle dan Trek Bicycle Malaysia di Sri Hartamas, semalam.
Menurut Azizulhasni, saingan di Australia dijangka lebih sengit apabila semiua skuad negara berkenaan termasuk pelumba kelab turut mengambil bahagian.
Malah, beliau melihat kejohanan di New Zealand juga mampu memberikan tentangan bermutu memandangkan negara itu memiliki pelumba yang berkualiti.
Bagaimanapun, Azizulhasni mengakui perlu lebih selektif dalam menyusun kalendar pertandingan musim ini bagi mengelakkan latihan berlebihan serta keletihan akibat jadual perjalanan dan perlumbaan yang terlalu rapat.-UTUSAN











