PETALING JAYA: Bekas pengendali skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Bojan Hodak dipilih untuk mengemudi Harimau Malaya bagi menggantikan Peter Cklamovski yang meninggalkan pasukan, Jun lalu.
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan FAM Kali Kedua bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung semalam, menyaksikan jurulatih dari Croatia itu menjadi pilihan.
Pelantikan itu menyaksikan Hodak, 55, akan menjadi jurulatih ke-45 Harimau Malaya sejak pasukan kebangsaan mula dibentuk pada 1956, selain pengendali import ke-20 dalam sejarah skuad negara.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pemilihan Hodak dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta rekod pencapaiannya yang membuktikan beliau mempunyai keupayaan untuk membimbing pasukan kebangsaan.
“FAM percaya pengalaman luas Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan
antarabangsa akan datang,” katanya.
Pada Jun lalu, posisi ketua jurulatih kosong selepas Peter Cklamovski melepaskan jawatan sebelum Tan Cheng Hoe diberikan tanggungjawab sebagai pengendali interim bagi mengemudi skuad kebangsaan sehingga proses pelantikan jurulatih tetap dimuktamadkan.
Hodak bukan nama asing buat peminat bola sepak tempatan apabila pernah mengendalikan beberapa pasukan termasuk Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC selain skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19).
Malah, rekod kejayaannya cukup mengagumkan apabila membantu Kelantan muncul juara Liga Super 2012, Piala FA 2012 dan 2013 serta Piala Malaysia 2012 sebelum membawa JDT menjulang kejuaraan Liga Super 2014 dan Piala Sumbangsih 2015.
Pengendali kelahiran Croatia itu turut mencipta sejarah bersama KL City apabila membawa kelab berkenaan menjulang Piala Malaysia 2021 selain mara ke final Piala AFC 2022 dan final Piala FA 2023.
Lebih membanggakan, Hodak turut membuktikan sentuhan kejurulatihannya di peringkat pembangunan apabila membimbing skuad B-19 negara menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018.
Terbaharu, beliau mencipta kejayaan lebih besar di Indonesia apabila membantu Persib Bandung muncul juara liga tiga musim berturut-turut iaitu 2023/2024, 2024/2025 dan 2025/2026 sebelum beralih ke peranan penasihat teknikal kelab itu pada Mei lalu.
FAM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe atas kesediaan beliau menerima tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Interim serta segala komitmen, usaha dan khidmat yang telah dicurahkan sepanjang tempoh mengendalikan skuad Harimau Malaya.
Sehubungan itu, Tan Cheng Hoe akan meneruskan khidmat bersama FAM dengan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya. – UTUSAN











