PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM179 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding kerugian bersih RM289 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi lebih baik itu dicatatkan meskipun kumpulan berdepan tekanan harga produk yang lebih rendah merentasi keseluruhan portfolio, khususnya urea susulan peningkatan bekalan eksport dari China.
Dalam pengumuman keputusan kewangannya, kumpulan pengeluar petrokimia itu berkata, hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM7.62 bilion berbanding RM6.79 bilion pada suku ketiga 2025.
Menurutnya, peningkatan jumlah jualan sepanjang suku berkenaan disokong sumbangan lebih tinggi daripada operasi Pengerang serta aktiviti penyumberan strategik.
Prestasi itu dicapai walaupun kumpulan melaksanakan aktiviti penutupan loji berjadual di loji metanol Labuan serta menangani gangguan operasi di loji olefin Kertih.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, PCG mencatatkan keuntungan bersih RM994 juta berbanding kerugian bersih RM1.39 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Hasil kumpulan turut meningkat kepada RM22.54 bilion berbanding RM20.88 bilion sebelumnya.
PCG berkata, kadar penggunaan loji pada suku dikaji kekal setanding pada 73 peratus selepas kumpulan menyelesaikan aktiviti penutupan loji berjadual di Labuan dan menangani gangguan operasi di Kertih.
Mengulas prospek, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, hala tuju pasaran kimia akan terus dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan serta ketidakseimbangan berterusan antara penawaran dan permintaan.
Katanya, harga produk olefin dan derivatif (O&D) dijangka terus berdepan tekanan berikutan lebihan bekalan serantau, manakala ketegangan geopolitik berpotensi mencetuskan ketidaktentuan kos bahan suapan dan pengangkutan.
“Permintaan baja dijangka disokong keperluan pertanian bermusim, keutamaan keselamatan makanan serta permintaan import, manakala harga metanol dijangka kekal secara relatif stabil.
“Permintaan pasaran akhir bagi bahan kimia khusus pula masih lemah merentasi sektor pembinaan, automotif dan barangan pengguna, dengan kelemahan bermusim dijangka berterusan pada suku keempat,” katanya.-UTUSAN











