PETALING JAYA: Seorang warga Singapura yang diburu Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) negara berjaya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas empat tahun melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Penahanan itu dilakukan SPRM menerusi kerjasama rentas agensi antarabangsa CPIB dan Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA) SPRM sebelum menyerahkan suspek kepada Singapura.
Sumber memaklumkan, penyerahan lelaki terbabit dilakukan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, Johor semalam.
Katanya, suspek berusia lingkungan 30-an yang bekerja sendiri itu ditahan kira-kira pukul 7 malam pada 22 November lalu.
“Dia ditahan dalam satu operasi bersepadu melalui Bahagian Perisikan SPRM dan SPRM Johor dengan kerjasama Jabatan Imigresen serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sekitar Johor.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat kes rasuah di Singapura selain masuk ke negara ini secara haram,” jelasnya
Tambah sumber, suspek turut dipercayai memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Malaysia sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. – UTUSAN











