ROMPIN: Bagi memastikan kisah dan sejarah generasi awal Felda membuka tanah rancangan tidak luput ditelan zaman, seorang anak Felda Keratong 10 di sini mengambil inisiatif menghasilkan sebuah komik bagi mengabadikan perkara itu.
Mohd. Hadizzaky Mat Saad, 44, atau lebih dikenali sebagai Adi berkata, dia menjadikan komik Geng Felda-Teringat Dulu-Dulu sebagai ruang untuknya mendokumentasikan sejarah, nostalgia dan pengorbanan masyarakat peneroka.
Menurut Adi, komik bukan hanya menjadi bahan hiburan, sebaliknya medium pendidikan yang mampu menghubungkan generasi muda dengan kisah kesusahan, semangat kerjasama dan pengorbanan peneroka suatu masa dahulu.
“Saya mahu generasi muda mengenali sejarah Felda melalui medium komik kerana ia lebih dekat dengan jiwa mereka.
“Jika sejarah tidak didokumentasikan, kita bimbang generasi akan datang tidak memahami pengorbanan ibu bapa dan datuk nenek mereka,” katanya ketika ditemui di Own Studio@Gallery di Muadzam Shah di sini, semalam.
Menurutnya, siri Geng Felda dirancang merangkumi 36 episod yang mengetengahkan sejarah pembukaan tanah rancangan, pengalaman hidup peneroka dan perubahan masyarakat Felda berdasarkan penyelidikan serta kisah benar.
Lebih membanggakan, naskhah sulung komik berkenaan turut mendapat tandatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran pada Julai lalu.
Mengimbau perjalanan seninya, Adi berkata, minat melukis kartun bermula sejak berusia enam tahun sebelum bakatnya berkembang ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan LKTP Keratong 10 hasil dorongan keluarga dan bimbingan kartunis legenda negara, Allahyarham Rejabhad.
Katanya, ketika berusia sembilan tahun, dia memberanikan diri menghantar lukisan ke sebuah majalah komik melalui pos tanpa menyangka kirimannya mendapat perhatian kartunis tersohor yang mesra dikenali sebagai Pak Jab itu.
“Arwah Pak Jab membalas surat saya dan memberikan tunjuk ajar mengenai teknik melukis, pemilihan pen, penggunaan dakwat serta cara menghasilkan kartun berkualiti.
“Setiap surat daripada arwah menjadi sumber ilmu dan suntikan semangat. Beliau juga pernah mengajak saya ke Kuala Lumpur untuk belajar dengan lebih dekat, namun ketika itu saya masih bersekolah,” katanya.
Selepas menamatkan persekolahan, Adi memberitahu dia melanjutkan pengajian dalam bidang Reka Bentuk Grafik di Politeknik Johor Bahru sebelum menimba pengalaman dalam industri percetakan, pengiklanan dan penerbitan sehingga menubuhkan Own Studio@Gallery pada 2008 yang menghasilkan komik, ilustrasi, mural, cenderamata serta pakaian berasaskan karakter ciptaannya.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, meskipun industri majalah komik semakin mengecil, dia tetap gigih berkarya dan berharap lebih ramai anak peneroka menceburi bidang kreatif, sekali gus membantu memelihara khazanah sejarah serta identiti masyarakat Felda. – UTUSAN











