PETALING JAYA: Pasaran hartanah kediaman mewah di Kuala Lumpur mencatatkan lonjakan ketara pada suku ketiga 2026 apabila urus niaga rumah berharga melebihi RM1 juta meningkat 40.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pembelian kediaman dalam julat harga RM900,001 hingga RM1 juta turut meningkat 48.7 peratus, mencerminkan permintaan kukuh terhadap hartanah bernilai tinggi di ibu negara.
Beliau berkata, prestasi itu jauh mengatasi perkembangan keseluruhan pasaran hartanah kediaman negara, sekali gus menunjukkan segmen mewah menjadi pemacu utama pertumbuhan pasaran Kuala Lumpur.
Menurutnya, jumlah urus niaga kediaman di Kuala Lumpur meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun kepada 4,323 transaksi pada suku ketiga 2026, manakala nilai keseluruhan urus niaga melonjak 31.8 peratus kepada RM4.55 bilion.
“Pertumbuhan paling pantas dicatatkan di kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur apabila jumlah jualan meningkat 84 peratus tahun ke tahun kepada 826 transaksi.
“Sebaliknya, jumlah jualan kediaman di daerah lain di Kuala Lumpur hanya meningkat lima peratus dalam tempoh sama,” katanya dalam kenyataan.
Kashif berkata, kira-kira satu daripada empat transaksi kediaman di Kuala Lumpur melibatkan hartanah berharga melebihi RM1 juta.
“Jumlah pembelian dalam kategori itu meningkat 40.7 peratus kepada 1,124 transaksi berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Kashif berkata, antara faktor yang berpotensi mendorong peningkatan permintaan kediaman mewah ialah keadaan ekonomi negara yang kukuh, kadar faedah stabil serta ringgit yang mengekalkan nilainya.
Katanya, perkembangan itu meningkatkan keyakinan pembeli tempatan berpendapatan tinggi terhadap prospek ekonomi dan pasaran hartanah negara.
“Selain itu, pembeli asing turut menyumbang kepada permintaan dalam segmen berkenaan, khususnya di kawasan pembangunan bertingkat tinggi seperti KLCC, Mont Kiara dan Bukit Bintang.
“Bagaimanapun, pembelian hartanah oleh warga asing di Kuala Lumpur tertakluk kepada nilai minimum RM1 juta serta duti setem sebanyak lapan peratus,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, indeks harga rumah Kuala Lumpur meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, iaitu dua kali ganda berbanding kenaikan 0.5 peratus di peringkat nasional.
Kashif berkata, kediaman bertingkat tinggi dan rumah teres menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan harga hartanah di ibu negara, masing-masing mencatatkan kenaikan tahunan 1.2 peratus dan 1.5 peratus.
Harga purata rumah di Kuala Lumpur kini mencecah RM830,008, iaitu 63 peratus lebih tinggi berbanding purata nasional sebanyak RM507,809.
Perkembangan itu memperlihatkan daya tahan segmen kediaman mewah di Kuala Lumpur, meskipun pasaran hartanah secara keseluruhan mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih sederhana.-UTUSAN











