Empat didakwa jual ayam tidak halal

Empat didakwa jual ayam tidak halal

BEBERAPA individu dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor semalam atas pertuduhan membekalkan 6,555kg ayam dengan memperdayakan orang ramai bahawa produk berkenaan adalah halal. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah syarikat penyembelihan ayam, Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd, dan empat individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperdaya pengguna bahawa makanan dibekalkan itu adalah halal dan boleh dimakan umat Islam serta bersubahat, bulan lalu.

Empat individu berkenaan dikenali sebagai Zafirah Karim, 36; Tanjena Akter Mollah, 35; Hossain Saddam, 34; dan Abdul Rahim Ariff Ali, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu serta Zafirah dan Tanjena sebagai pengarahnya dan Hossain yang juga pengurus syarikat, didakwa membekalkan makanan iaitu 6,555 kilogram (kg) ayam yang telah disembelih dan diproses dengan membuat representasi yang boleh memperdayakan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Rahim sebagai pekerja pula didakwa bersubahat dengan syarikat itu untuk melakukan kesalahan sama.

Semua tertuduh didakwa me­lakukan kesalahan itu sekitar jam 12.45 tengah malam 30 Oktober lalu di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang boleh dihukum bawah Subperenggan 5(a) perintah sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak lebih RM5 juta serta bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman de­nda tidak melebihi RM10 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pengarah, pengurus dan Abdul Rahim pula didakwa mengikut subperenggan sama yang boleh dihukum bawah Subperenggan 5(b) perintah sama, yang membawa hukuman denda tidak le­bih RM1 juta atau boleh dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, boleh dihukum denda tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Sophian Zakaria dan Norhashimah Hashim.
Zafirah, Tanjena dan Hossain diwakili peguam, Bernard Francis, manakala Abdul Rahim tidak diwakili peguam.

Mohd Sophian menawarkan ikat jamin sebanyak RM40,000, selain syarat tambahan semua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setiap bulan.

Tanjena dan Hossain yang juga warga asing bagaimanapun tidak ditawarkan sebarang ikat jamin.

“Kedua-dua mereka ini adalah warga Bangladesh dan mempu­nyai risiko pulang ke negara asal, sekali gus menyukarkan pihak pendakwaan untuk mengesan mereka jika perkara itu berlaku,” katanya.

Bernard memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan pada RM3,500 bagi semua anak guamnya, dengan mengambil kira kerjasama yang diberikan mereka sepanjang siasatan dilakukan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini