PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memaklumkan kepada semua pengendali pusat data di Malaysia berhubung penyenaraian tujuh entiti oleh Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan tiada perkhidmatan diberikan kepada entiti berkenaan.
MITI berkata, tindakan itu susulan peraturan muktamad yang dikeluarkan oleh Bureau of Industry and Security (BIS), Jabatan Perdagangan AS pada 23 November 2026, yang menambah tujuh entiti ke dalam Senarai Entiti AS (US Entity List).
“Daripada jumlah itu, dua entiti disenaraikan di bawah Malaysia, iaitu Speedmatrix Sdn. Bhd. dan MSFusion Sdn. Bhd.
“Speedmatrix Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat milik penuh Megaspeed International Pte. Ltd. yang diperbadankan di Singapura.
“Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), PT Megaspeed International bukan entiti di Malaysia dan bukan pengendali atau penyewa pusat data yang beroperasi di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, BIS di bawah Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan peraturan muktamad pada 23 Nov untuk memasukkan tujuh entiti ke dalam senarai sekatan perdagangannya, dikenali sebagai ‘Entity List’.
Tindakan itu susulan kebimbangan ia mungkin terbabit dalam penyaluran peralatan pengkomputeran canggih kepada pengguna yang tidak dibenarkan.
Sehubungan itu, katanya, MIDA akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di Malaysia supaya tidak menyediakan kemudahan pengehosan, menyewakan ruang atau memberikan perkhidmatan kepada tujuh entiti yang disenaraikan berkenaan.
“Malaysia kekal komited untuk memastikan persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan serta tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai saluran untuk mengelak kawalan eksport.
“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang,” ujarnya.-UTUSAN











