KLCI dijangka berkembang kepada 50 kaunter

FBM KLCI dijangka berkembang kepada 50 kaunter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20 saham berpotensi dikenal pasti untuk disenaraikan sebagai komponen baharu Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susulan peluasan indeks penanda aras itu kepada 50 kaunter berbanding 30 ketika ini.

Peluasan itu dijangka meningkatkan kepelbagaian sektor dalam indeks utama pasaran saham tempatan, selain membuka peluang kepada syarikat terpilih untuk mendapat manfaat daripada pembelian berkaitan indeks dan peningkatan pendedahan kepada pelabur institusi.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya berkata, saringan berdasarkan permodalan pasaran setakat 23 November 2026 mengenal pasti 20 syarikat berpotensi untuk menyertai FBM KLCI.
“Antara syarikat yang dikenal pasti ialah Westports Holdings, United Plantations, ViTrox, Sime Darby, QL Resources, KPJ Healthcare, IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT), Dialog Group, TIME dotCom dan Sunway Construction Group.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Senarai itu turut merangkumi IJM Corporation, Frontken, Inari Amertron, Alliance Bank Malaysia, Sime Darby Property, Malaysian Pacific Industries, Top Glove, Eco-Shop Marketing, Gas Malaysia dan Malayan Cement,” katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, senarai berkenaan masih bersifat indikatif dan tertakluk kepada keputusan rasmi FTSE Russell yang dijadualkan diumumkan pada 3 Disember ini.
“Peluasan FBM KLCI itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan 20 kaunter baharu berkenaan dimasukkan pada 50 peratus daripada wajaran akhir masing-masing bermula 21 Disember 2026 sebelum dinaikkan kepada 100 peratus pada 21 Jun 2027.

“Langkah itu merupakan penyusunan semula terbesar komponen indeks penanda aras berkenaan sejak 2009,” katanya.

CIMB Securities menganggarkan 20 kaunter baharu itu secara keseluruhan akan mewakili 8.9 peratus daripada wajaran FBM KLCI selepas pelaksanaan fasa pertama, sebelum meningkat kepada 16.3 peratus apabila pelaksanaan penuh selesai.

“Dari segi komposisi sektor, peluasan itu dijangka mengurangkan dominasi sektor perkhidmatan kewangan dalam indeks, dengan wajaran diunjurkan menyusut kepada 36.6 peratus berbanding 43 peratus ketika ini.

“Sektor utiliti turut dijangka menyaksikan pengurangan wajaran kepada 13.7 peratus berbanding 16 peratus, manakala sektor perindustrian, teknologi, hartanah, tenaga dan barangan pengguna dijangka mendapat perwakilan lebih besar,” katanya.

Menurut CIMB Securities, perubahan itu dapat memperluas pendedahan indeks kepada lebih banyak sektor ekonomi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap beberapa sektor utama yang mendominasi FBM KLCI ketika ini.

“Bagaimanapun, kesan pembelian saham susulan kemasukan ke dalam indeks dijangka sederhana dalam jangka pendek berikutan jumlah dana pasif yang menjejaki FBM KLCI secara khusus masih terhad.

“Permintaan tambahan berpotensi datang daripada dana aktif yang menggunakan FBM KLCI sebagai penanda aras pelaburan, namun tahap pembelian sebenar bergantung kepada pegangan sedia ada dan mandat pelaburan masing-masing,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, saringan terbaharu itu turut menyaksikan perubahan berbanding senarai yang diterbitkan pada 28 September lalu, dengan Gas Malaysia, Malayan Cement dan Top Glove menggantikan Unisem, Kelington Group dan Genting Malaysia.

Perubahan itu mencerminkan pergerakan kedudukan relatif syarikat berdasarkan permodalan pasaran serta pematuhan kepada kriteria kelayakan indeks yang ditetapkan FTSE Russell.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini