LONDON: Lewis Hamilton menafikan pernah meminta Ferrari menjadikannya pemandu No.1, namun kenyataannya mengenai keperluan mendapatkan sokongan pasukan itu ketika memburu Kimi Antonelli menghidupkan semula perdebatan mengenai layanan terhadap pemandu dalam pasukan berkenaan.
Isu itu kembali menjadi perhatian selepas Hamilton bertembung dengan rakan sepasukan, Charles Leclerc, pada Grand Prix (GP) Las Vegas sehingga dia berpusing pada pusingan ke-37, manakala pemandu Monaco itu dikenakan penalti 10 saat kerana menyebabkan insiden.
Pertembungan itu menjadi insiden kedua antara kedua-dua pemandu dalam tempoh tiga perlumbaan selepas mereka turut berselisih di GP Mexico, sekali gus mencetuskan cadangan juara dunia 1996, Damon Hill supaya Ferrari menetapkan Hamilton sebagai pemandu utama.
Hamilton bagaimanapun menegaskan dia tidak pernah meminta layanan istimewa daripada pasukan Itali itu, meskipun perdebatan mengenai pembahagian peranan antara dirinya dan Leclerc semakin hangat.
“Saya tidak pernah meminta untuk menjadi No.1, saya benar-benar tidak pernah meminta perkara itu,” katanya.
Namun, Hamilton percaya ada beberapa keadaan sepanjang musim ini yang boleh memberikan peluang lebih besar untuk menyaingi Antonelli sekiranya Ferrari memberikan sokongan lebih baik, terutama ketika dia berada di kedudukan kedua kejuaraan.
Hamilton memulakan musim dengan prestasi mengagumkan apabila meraih kemenangan GP pertamanya bersama Ferrari di Barcelona, selain pernah mendahului Leclerc lebih 40 mata ketika persaingan kejuaraan tertumpu kepada dirinya dan Antonelli.
“Pada satu ketika musim ini, saya mendahului Leclerc lebih 40 mata dan ketika itu pertarungan adalah antara saya dengan Kimi, saya merupakan pencabar paling hampir dengannya dan berada di tempat kedua untuk tempoh yang lama, ketika itu saya memerlukan sokongan bagi memastikan kami dapat menewaskan Antonelli.
“Pada beberapa keadaan sepanjang musim, dengan sokongan yang sewajarnya, saya fikir kami boleh menewaskan Kimi, seperti di Zandvoort sebagai contoh,” katanya. – AGENSI











