WASHINGTON: Harga minyak susut sedikit pada Jumaat ketika pasaran menilai kemungkinan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berbanding serangan pemberontak Houthi ke atas Arab Saudi selepas harga melonjak sepanjang minggu lalu.
Harga minyak Brent turun 74 sen atau 0.69 peratus kepada AS$105.85 setong (RM430.68) manakala West Texas Intermediate (WTI) susut 81 sen atau 0.86 peratus kepada AS$93.80 (RM381.77) setong.
Pembukaan pasaran yang perlahan itu berbeza dengan pergerakan harga yang tidak menentu sepanjang minggu ini apabila harga minyak melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh seminggu pada Khamis.
Kedua-dua kontrak meningkat sehingga lima peratus. Brent ditutup 3.4 peratus lebih tinggi, manakala WTI meningkat 2.7 peratus.
Brent mencatatkan paras penutupan tertinggi sejak 15 September. Ia merupakan kenaikan pertama dalam beberapa hari bagi WTI, yang susut 13 peratus sepanjang enam sesi dagangan sebelumnya dan turun 6.42 peratus bagi minggu ini, berbanding kenaikan 2.09 peratus bagi Brent.
Lapor Reuters, perunding AS dan Iran di New York sedang meneroka laluan berperingkat untuk menamatkan perang yang melibatkan pembukaan semula Selat Hormuz oleh Teheran dan penghapusan sekatan ekonomi AS terhadap Iran, menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu minggu ini.
“Harapan diplomatik pada asasnya membantu harga minyak bertahan daripada kesan serangan ketenteraan terbaru di Asia Barat, dengan harga minyak mentah didagangkan sedikit lebih rendah walaupun serangan berlaku.
“Serangan berterusan itu menjadi peringatan jelas aset minyak kritikal masih menjadi sasaran serangan,” kata Ketua Penganalisis KCM Trade, Tim Waterer.
Arab Saudi memintas enam peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi, kumpulan disokong Iran di Yemen, sekali gus menggagalkan serangan ke atas wilayah selatan Taif dan kawasan Yanbu di Laut Merah, menurut pakatan diketuai Arab Saudi yang beroperasi di Yemen.
Sejak perang bermula pada akhir Februari, kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas dunia terjejas, menyebabkan harga meningkat 50 peratus pada Mac sahaja, selain mendorong pembeli gas asli cecair (LNG) mencari bekalan baharu yang lebih jauh dan stabil bagi bahan api berkenaan.
Pada Khamis, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, terpulang kepada AS untuk menentukan bila perang Iran akan berakhir.
“AS yang mesti memilih sama ada mahu menamatkan perkara ini atau tidak,” kata Pezeshkian sebagai menjawab soalan dalam satu temu bual yang disiarkan Fox News pada Khamis.
Arab Saudi sedang meningkatkan jumlah pengepaman minyak mentah melalui Saluran Paip Timur-Barat yang menghubungkan kawasan pengeluaran dengan hab eksport Yanbu di Laut Merah, walaupun operasi memuatkan minyak mentah ke dalam kapal tangki masih belum disambung semula, menurut sumber industri, imejan satelit dan data perkapalan.











