Tiga kawasan sering banjir di Selangor disifat kritikal - Utusan Malaysia

Tiga kawasan sering banjir di Selangor disifat kritikal

Seramai 100 sukarelawan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalankan kerja-kerja pembersihan di Masjid At-Taufiqiah yang terjejas akibat banjir teruk yang melanda Puncak Alam baru-baru ini. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga kawasan di Selangor dikenal pasti antara kawasan kritikal diberi perhatian untuk pelaksanaan projek tebatan banjir menerusi peruntukan RM36.45 juta bagi 47 projek di bawah Belanjawan Selangor 2027.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiga kawasan tersebut iaitu Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah dan Puncak Alam antara lokasi mengalami masalah banjir serius, khususnya pada peringkat awal Monsun Timur Laut atau ketika peralihan monsun.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan meneliti semula lokasi pelaksanaan projek berkenaan berdasarkan keperluan semasa, selain memastikan usaha mengurangkan risiko banjir dilaksanakan secara berterusan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan tengok balik sebab ia adalah usaha berterusan dan sudah pasti dua tiga tempat utama adalah Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah dan kawasan Puncak Alam.

“Ini tiga kawasan yang serius pada peringkat awal permulaan monsun atau peralihan monsun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan Digital PIBKS Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, semalam.

Dalam pada itu Amirudin berkata, kawasan Kuala Selangor turut berdepan masalah banjir, yang lebih bersifat jangka panjang (banjir termenung) dan memerlukan perhatian khusus.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha melaksanakan projek berkaitan secepat mungkin, selain menilai keberkesanan langkah tebatan banjir di kawasan yang sebelum ini sering terjejas.

Beliau berkata, beberapa kawasan seperti Dengkil dan Kuala Langat menunjukkan keadaan lebih baik hasil usaha mitigasi yang dilaksanakan sebelum ini.

“Ini akan ditumpukan kepada 56 lokasi titik panas yang sudah dikenal pasti.

“Antara 2016 hingga 2017, kita mempunyai hampir 200 titik panas banjir namun menerusi usaha yang dilaksanakan, jumlah itu semakin berkurangan dan beberapa kawasan berjaya ditangani,” katanya.

Amirudin berkata, perkembangan situasi banjir perlu terus dipantau dari semasa ke semasa memandangkan negara masih berada pada peringkat awal musim monsun.

Belanjawan Selangor 2027 yang dibentang Jumaat lalu, antara lain menyediakan dana RM36.45 juta bagi 47 projek tebatan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Amirudin dilapor berkata, dana itu untuk membiayai 30 projek sambungan dan 17 projek baharu di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini