BERLIN: Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff mendedahkan dia pernah menawarkan peletakan jawatan ketika Mercedes bergelut dalam saingan Formula Satu (F1) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mercedes merangkul gelaran kejuaraan dunia pengeluar buat kali kesembilan pada perlumbaan terakhir di Brazil, sekali gus menandakan kejayaan pertama pengeluar dari Jerman itu sejak 2021.
Dengan Andrea Kimi Antonelli turut mengesahkan kejuaraan dunia pemandu pada perlumbaan sebelumnya di Mexico, Mercedes kini meraikan kejayaan berganda pertama mereka sejak 2020.
Kejayaan itu hadir selepas tempoh sukar sepanjang era peraturan ‘ground effect’ dari 2022 hingga 2025, apabila Mercedes gagal mencabar kejuaraan dunia dan hanya meraih tujuh kemenangan perlumbaan berbanding 12 kemenangan setakat musim ini.
Mercedes gagal menyesuaikan diri dengan peraturan teknikal ‘ground effect’ manakala konsep bahagian sisi badan jentera dikenali sebagai ‘zeropod’ yang pernah menjadi taruhan utama mereka terbukti satu kesilapan besar sehingga menemui jalan buntu dalam pembangunan.
Wolff mendakwa dia beberapa kali bersedia melepaskan jawatan sebagai ketua pasukan sepanjang tempoh sukar itu, namun pengerusinya, Ola Kallenius, yang juga Pengerusi Mercedes-Benz, menolak hasrat berkenaan.
“Saya sudah beberapa kali menawarkan peletakan jawatan kepada Ola (Kallenius) sejak beberapa tahun lalu, tetapi dia sentiasa berkata ‘Kamu akan terus melakukan tugas ini’,” kata Wolff.
Mengimbas kembali tempoh sukar yang dilalui Mercedes, Wolff berkata bukan mudah untuk terus bertahan.
“Apabila melihat kembali apa yang berlaku, kita mungkin berkata, ‘Kita memerlukan saat-saat sukar ini untuk berkembang sebagai individu atau sebagai sebuah organisasi’. Namun, ketika kita sedang berada di bawah, bukan mudah untuk merasai perkara itu.
“Jika melihat kembali, saya fikir empat tahun terakhir itu sangat sukar. Kami melakukan kesilapan, kemudian cuba memahami punca kesilapan itu sebelum menyedari bahawa sebenarnya kami masih belum memahaminya. Ia satu proses yang berulang-ulang.
“Namun, apabila kita melihat kembali dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang dan meneliti statistik, kami sebenarnya bukanlah pasukan yang gagal sepenuhnya sepanjang empat tahun itu kerana kami menamatkan saingan di kedudukan ketiga, kedua, keempat dan kedua secara berturut-turut. Kami juga memenangi banyak perlumbaan,” katanya.- AGENSI











