Israel guna teknologi Amazon pantau rakyat Palestin

Israel guna teknologi Amazon pantau rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Tentera Israel memuat naik sebanyak 3.5 juta gambar ke platform awan Amazon bagi menggunakan teknologi pengecaman wajah milik syarikat Amerika Syarikat (AS) itu untuk menganalisis imej dan menjejaki pergerakan rakyat Palestin, menurut pendedahan akhbar The Guardian.

Muat naik itu dilakukan ketika tentera Israel semakin bergantung kepada platform awan Amazon bagi memenuhi keperluan teknologi dalam kempen pengeboman di Gaza dan memantau rakyat Palestin di Tebing Barat.

Dokumen yang dibocorkan menunjukkan koleksi besar gambar termasuk bahan risikan sensitif dan maklumat mengenai rakyat Palestin yang hidup di bawah pendudukan itu dipindahkan ke pelayan awan Amazon pada bulan-bulan awal kempen pengeboman udara dan serangan darat besar-besaran Israel di Gaza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jabatan itu memaklumkan kepada Amazon mengenai keputusan memuat naik gambar berkenaan pada awal 2024 bagi membolehkannya menggunakan Rekognition, iaitu platform analisis imej berasaskan kecerdasan buatan (AI) milik syarikat itu untuk projek pengecaman wajah.

Koleksi besar gambar itu dipindahkan ke sebuah pusat data Amazon berhampiran Tel Aviv oleh jabatan yang dikenali sebagai Rolling Stone, yang beroperasi di bawah unit perisian tentera Israel.

Selepas Israel melancarkan serangan darat di Gaza pada Oktober 2023, tenteranya secara rutin mengumpul gambar rakyat Palestin ketika mereka melalui pusat pemeriksaan, kebanyakannya selepas dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat kempen pengeboman.

The New York Times sebelum ini melaporkan tentera Israel bereksperimen dengan teknologi komersial yang tersedia di pasaran di Gaza untuk mengesan wajah dalam kumpulan orang ramai dan rakaman dron, namun ada kalanya orang awam tersalah dikenal pasti sebagai anggota militan.

Dokumen terbaharu itu mendedahkan penggunaan teknologi Amazon oleh tentera Israel, termasuk bagi eksperimen pengecaman wajah dan projek lebih besar untuk memindahkan data mereka ke pelayan perkhidmatan pengkomputeran milik konglomerat yang diasaskan bilionair, Jeff Bezos.

Dokumen itu turut mendedahkan jenis data yang dipindahkan tentera Israel ke platform awan serta bagaimana infrastruktur Amazon Web Services (AWS) digunakan bagi menyokong pengumpulan dan pemprosesan data peribadi rakyat Palestin yang lazimnya diperoleh secara meluas tanpa pemilihan, menerusi kaedah pencerobohan privasi dan tanpa persetujuan mereka.

Fail berkenaan menunjukkan hubungan AWS dengan tentera Israel semakin erat ketika Israel berdepan tuduhan melakukan jenayah berat di Gaza, termasuk pembunuhan beramai-ramai atau genosid.

Asas hubungan Israel dengan Amazon ialah kontrak besar bernilai berbilion dolar yang dimeterai pada 2021 dan dikenali sebagai Project Nimbus.

Menerusi perjanjian itu, AWS dan Google menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada pelbagai agensi kerajaan serta pelanggan ketenteraan Israel.

The Guardian tahun lalu mendedahkan kontrak Nimbus mengandungi syarat luar biasa yang melarang kedua-dua syarikat AS itu daripada menyekat atau menggantung penggunaan perkhidmatan awan mereka oleh kerajaan dan tentera Israel, walaupun rejim Zionis itu melanggar syarat perkhidmatan yang ditetapkan.

Syarat itu sekali gus menghalang tindakan sepihak seperti yang dilakukan Microsoft tahun lalu apabila syarikat berkenaan menyekat akses tentera Israel kepada teknologi yang digunakan untuk mengendalikan sistem pengawasan besar-besaran terhadap rakyat Palestin, yang sebelum ini didedahkan menerusi siasatan The Guardian dan +972 Magazine. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini